NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun Mahathir berharap PN sapu bersih 6 negeri

Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya orang Melayu bersatu dan keluar mengundi PN akan menang di enam negeri dalam PRN Ogos ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang membuat kemunculan pertama di pentas Perikatan Nasional (PN) berharap gabungan itu menyapu bersih semua negeri dalam PRN pada Ogos ini.

Mahathir yang berucap dalam Malam Munajat Pakat Pertahan PAS Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu berkata, sekiranya orang Melayu bersatu dan keluar mengundi PN akan menang di enam negeri itu.

“Kita akan ada PRN, ada enam buah negeri akan ada PRN.

“Saya harap dapat sapu bersih. Kita semua orang Melayu, ramai yang berkata orang Melayu berpecah dan tak mungkin bersatu, tapi malam ini dapat lihat pemimpin parti-parti Melayu berkumpul di sini kerana nak memperjuangkan nasib dan masa depan negara,” katanya lapor Malaysia Kini.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga berharap orang Melayu akan keluar mengundi seramai yang mungkin bagi memberikan kemenangan buat PN.

Kata Mahathir, PN perlu mengatasi isu orang Melayu yang enggan keluar mengundi kerana bosan dengan politik bagi mengelak parti lawan menang dalam PRN akan datang.

“Jika kita tidak keluar, ia seperti kita memberi undi kepada mereka yang tidak layak untuk mendapat kemenangan dan mendirikan kerajaan,” katanya.

Mahathir berkata beliau turut gembira kerana berpeluang datang ke Kelantan dan menyaksikan pembangunan hebat di negeri itu, termasuk adanya bangunan “pencakar langit.”

Turut hadir pada program itu adalah Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan barisan kepimpinan PN peringkat pusat dan negeri.

- FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo