NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada keperluan KXP dibina, lebih baik guna lapangan terbang yang sedia ada, kata Kementerian Pengangkutan

Kementerian Pengangkutan bagaimanapun menyokong pelaksanaan Kedah Aerotropolis MRO Centre of Excellence (KAAMROCE) dan Sidam Logistic Aerospace Manufacturing (SLAM) sebagai sebahagian pembangunan bercampur Kedah Aerotropolis. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan mendapati tiada keperluan bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di bawah projek Kedah Aerotropolis.

Menurut kenyataan, pihak kementerian meneliti secara mendalam mana-mana cadangan pembangunan termasuk pembinaan lapangan terbang oleh kerajaan negeri.

Katanya, cadangan pembangunan mana-mana lapangan terbang perlulah disokong unjuran peningkatan permintaan penumpang dan kargo bersandarkan kepada “data sahih dan tepat” bagi memastikan kebolehlaksanaan dan kemampanannya.

Menerusi penelitian pihak kementerian dan konsultan Kajian National Airports Strategic Plan (NASP) terhadap Pelan Induk Utama Pembangunan Kedah Aerotropolis disediakan konsultan dilantik kerajaan negeri, mendapati kebergantungan KXP terhadap perkhidmatan kargo semata-mata sebagai “tidak berdaya maju”.

“Berdasarkan dapatan kajian NASP, sebanyak 92% kargo dikendalikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah daripada perkhidmatan penerbangan penumpang melalui ‘belly cargo’, manakala hanya 8% sahaja kargo yang dikendalikan oleh perkhidmatan penerbangan penuh kargo.

“Data ini jelas menggambarkan kebergantungan KXP terhadap perkhidmatan penerbangan penuh kargo semata-mata tidak akan memberikan lonjakan besar kepada KXP menjadi sebuah lapangan terbang kargo berdaya maju. Sebaliknya, KXP perlu juga bergantung kepada perkhidmatan penerbangan penumpang untuk mengangkut kargo,” katanya dalam kenyataan itu.

Pihak kementerian juga mendapati, unjuran kargo KXP yang dicadangkan didapati agak tinggi bagi sebuah lapangan terbang baharu, berbanding dengan unjuran kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), yang telah lama beroperasi dengan jaringan kesalinghubungan udara sedia meluas.

“Justeru itu, kemampuan KXP sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa kargo berasaskan kepada unjuran kargo yang disediakan oleh KXP Airportcity boleh dipertikaikan dan adalah kurang tepat,” katanya.

Menurut Kementerian Pengangkutan, dua lapangan terbang berdekatan tanpa menjejaskan pasaran satu sama lain boleh dipertimbangkan berdasarkan prinsip di mana lapangan terbang utama mencapai kapasiti maksimum pengendalian “20 juta penumpang setahun”.

“Dalam hubungan ini, LTAPP pada masa ini masih mempunyai kapasiti mencukupi untuk mengendalikan sebarang peningkatan dari segi pengendalian penumpang sehingga 20 juta penumpang sehingga 2042,” katanya.

Justeru, KXP hanya boleh dipertimbangkan untuk dibina selepas LTAPP mencapai kapasiti maksimum itu, selain pihak kementerian menekankan setakat ini tiada sebarang cadangan penyertaan swasta yang mampu membiayai kos projek KXP.

Kementerian Pengangkutan berkata, pihaknya tiada halangan berhubung cadangan pelaksanaan Kedah Aerotropolis MRO Centre of Excellence (KAAMROCE) dan Sidam Logistic Aerospace Manufacturing (SLAM) sebagai sebahagian daripada pembangunan bercampur di bawah pembangunan Kedah Aerotropolis.

“Pihak kementerian turut berpandangan bahawa kerajaan Kedah wajar menjadikan lapangan terbang sedia ada iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim atau LTAPP sebagai fasiliti yang menyokong pelaksanaan KAAMROCE dan SLAM bagi membolehkan projek ini dilaksanakan segera,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan kerajaan persekutuan menindas termasuk dalam isu pembinaan KXP di Kedah.

Anwar berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang memerlukan kajian teliti sebelum boleh dilaksanakan kerana ia melibatkan beberapa aspek penting, terutamanya keselamatan negara, selain perlu melalui prosedur dan peraturan tertentu.


Sumber I FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo