NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

TGHH gambarkan Prof Halim sebagai ‘hadiah’ PN buat Paya Jaras



KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Awang Hadi menyifatkan calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Prof Datuk Dr Ab. Halim Tamuri sebagai ‘hadiah’ kepada penduduk di kawasan itu.

Ini kerana jelas Ab. Halim memiliki rekod pencapaian  hebat untuk menjadi wakil rakyat sekaligus membantu Kerajaan Selangor sekiranya PN merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan.

Justeru Abdul Hadi berharap pengundi dapat memberi sokongan kepada calon PN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

“Saya bagi pihak PN selaku timbalan presiden dan Presiden Pas meminta rakan-rakan berdoa agar kemenangan calon Dr Halim Tamuri yang kita kemuka jadi calon di Paya Jaras ini.

“Seorang tokoh pendidikan iaitu bekas rektor Kolej Universiti Islam Selangor. Seorang tokoh, insya-Allah mampu beri peranan yang besar dan ini satu hadiah kepada Paya Jaras, Kita harap penduduk Paya Jaras terima hadiah ini dan beri sokongan.

Beliau seorang yang layak jadi wakil rakyat untuk bantu Kerajaan Negeri Selangor sekiranya kita mendapat kemenangan,” katanya di Facebook hari ini.

Semalam, Abdul Hadi membuat kejutan apabila bersama-sama kira-kira 500 penyokong PN berarak mengiringi Ab. Halim ke Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling di sini.

Sementara itu, Ab. Halim antara calon yang menjadi tumpuan ramai dengan profil yang cukup lengkap dan hebat selama 32 tahun memberi sumbangan bakti kepada dunia akademik.

Beliau yang merupakan mantan Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) serta mantan Profesor Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah antara tokoh anak Selangor yang dikenali ramai terutama dalam dunia pendidikan.

Ketokohannya dalam bidang akademik diakui apabila beliau dilibatkan secara langsung sebagai Ahli Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tidak berhenti sebagai pendidik di universiti, Ab. Halim juga telah memberi sumbangan kepada masyarakat melalui penglibatan industri antaranya Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor, Ahli Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan,  Ahli Lembaga Pengarah Kolej Profesional Baitul Mal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Ahli Lembaga Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS).

Beliau juga adalah Penasihat Pusat Pembangunan Pendidikan Islam Selangor, Presiden Persatuan Intelektual Muslim Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan & Pembangunan Insan Majlis Agama Islam Selangor.

Pengalaman dan sumbangan itu telah melayakkan anak kelahiran Tanjung Karang itu menerima pelbagai anugerah di setiap peringkat termasuk Anugerah Imam Al-Ghazali sempena Sambutan Maulidur Rasul Negeri Selangor.

Pada PRN kali ini, beliau akan berentap dengan Exco Pembangunan Generasi Muda Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).- MalaysiaGazette





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo