SHAH ALAM – Kekangan tempat dan tenaga kerja tidak mencukupi menyebabkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) terpaksa menghadkan pengambilan pelajar meskipun ramai yang memohon melanjutkan pelajaran di universiti itu.
Naib Canselor UITM, Datuk Prof.Ts.Dr.Roziah Mohd.Janor berkata, terdapat beberapa kursus menerima permohonan sehingga mencecah lebih 10,000 termasuk program Diploma Halal seramai 14,000 orang, namun hanya 230 tempat disediakan.
“UiTM memahami kekecewaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin melanjutkan pengajian di UiTM di bidang-bidang tertentu. Namun, gagal disebabkan masalah kurang tenaga pengajar untuk kursus tersebut,” katanya selepas melancarkan Cincin Graduasi UiTM di sini hari ini.
Jelas beliau, ada kursus tertentu juga dihadkan kepada dua kelas sahaja seperti Diploma Muamalat yang mengambil 60 pelajar sahaja berbanding 12,000 permohonan.
“Pada bulan September, kita akan ada pengambilan untuk semester baharu dan saya cadangkan pemohon yang gagal memohon sekali lagi. UiTM pada dasarnyaingin mengambil lebih ramai pelajar, tetapi hanya 26,000 sahaja boleh ditampung berbanding keseluruhan permohonan hampir 70,000,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
No comments
Post a Comment