NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Surash ziarah 'seteru medan PRN', doakan kesembuhan Mohd Zaidy




JEMPOL: 'Perseteruan' di medan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak menghalang calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk S Surash, untuk menziarahi pesaing mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yang terbabit kemalangan jalan raya, hari ini.

Surash meluangkan masa melawat dan memberikan kata-kata semangat kepada Mohd Zaidy yang sedang menerima rawatan di Hospital Jempol, di sini.

Biarpun berbeza parti politik, beliau memaklumkan persahabatan mereka tetap kukuh, sekali gus mengajak penyokong dan warga Jeram Padang untuk bersama-sama mendoakan kesembuhan Mohd Zaidy.

"Awal pagi tadi, saya dikejutkan dengan perkhabaran sahabat yang juga calon lawan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, terbabit kemalangan jalan raya.

"Sebaik saja selesai membuat lawatan di FELDA Palong 1 pada jam 1 tengah hari tadi, saya terus bergegas ke Hospital Jempol.

"Saya memberikan kata-kata semangat kepada beliau, serta mendoakan agar beliau cepat sembuh dan kembali berkempen. Walaupun kami berbeza parti, persahabatan tetap utuh.

"Buat semua penyokong serta warga Jeram Padang, marilah kita sama-sama mendoakan beliau cepat sembuh dan diberikan kesihatan yang baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Mohd Zaidy patah kaki kiri selepas terbabit kemalangan kira-kira jam 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab dalam satu kenyataan berkata, kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu oleh Mohd Zaidy dengan ditemani pembantunya, dipercayai terbabas ketika dalam perjalanan ke Palong dari arah Bahau melalui Jalan Pasir Besar.

Mohd Zaidy pula dipetik berkata, selepas dibenarkan keluar dari hospital nanti, beliau akan kembali bertemu rakyat secara bersemuka dan meneruskan kempennya bagi memastikan misi kemenangan pada PRN kali ini.


Sumber I BH Online



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo