KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, kerajaan perpaduan akan mengangkat agenda skim veteran tentera berpencen dan tidak berpencen pada Mesyuarat Pertama Skim Perkhidmatan dan Persaraan yang akan diadakan Isnin depan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata perkara itu tidak pernah dimasukkan dalam kajian semula skim perkhidmatan dan persaraan sebelum ini.
“Saya boleh umum tambahan beberapa juta seperti yang diumumkan baru-baru ini seperti bantuan kepada penjawat awam dan e-dompet, tetapi itu hanya sementara.
“Ini kali pertama, dan bagi saya kalau bagi tempoh, kata KSN (ketua setiausaha negara) minimum enam bulan untuk mengkaji seluruhnya, dan kita akan teliti implikasi kewangan tetapi saya percaya insya-Allah kita dapat menyelesaikan secara muktamad,” kata Anwar dalam ucapan pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM di Wisma Perwira.
Bagi tujuan itu juga, perdana menteri berkata beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamed dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican agar pandangan kesemua persatuan veteran termasuk Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) diambil kira sebelum mesyuarat berkenaan diadakan.
Turut hadir Menteri Pertahanan Mohamad Hasan, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan dan Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang.
Anwar yang juga menteri kewangan, berkata jawatankuasa mengenai skim perkhidmatan dan persaraan dipengerusikan perdana menteri telah lama tidak bersidang dengan kajian terakhir mengenainya dilaksanakan adalah pada 2012.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk turut serta memberi perhatian kepada keperluan dan kebajikan veteran tentera.
Anwar berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini, yang antara lain memerlukan syarikat berkaitan untuk menyerap veteran tentera dalam program pemerkasaan dilaksanakan.
“Pada mesyuarat Rabu ini, saya akan berikan arahan supaya semua agensi kerajaan terutama yang mengendalikan hal Bumiputera dan agensi-agensi lain seperti perdagangan, latihan, pertanian, keusahawanan memastikan ada ruang penyertaan (veteran tentera) dan ini patut dilaksanakan dalam kadar segera. Ini bukan projek tahun depan, ini projek minggu ini insya-Allah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, perdana menteri berkata keadaan politik negara yang stabil selepas kerajaan perpaduan mengambil alih pentadbiran antara faktor yang mendorong Tesla Inc mahu membuka ibu pejabatnya di Cyberjaya.
Anwar berkata walaupun ramai pemimpin termasuk dari negara Asia Tenggara menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, Elon Musk, namun Musk telah memilih Malaysia.
“Ada pemimpin kita dulu yang ke pejabat Tesla walaupun tak jumpa (Musk), tapi kerana negara kita aman, ini jasa angkatan tentera, polis dan penguat kuasa, Musk yang minta bicara dengan saya.
“….dan dalam satu bicara sahaja, dia setuju (melabur di Malaysia) dan sekarang telah pun membeli bangunan besar di Cyberjaya untuk dijadikan ibu pejabat Tesla di Malaysia. Orang terkaya di dunia yang dipujuk oleh pelbagai presiden, raja dan perdana menteri Alhamdulillah memilih Malaysia,” katanya.
Pada 14 Julai, perdana menteri mengadakan persidangan video bersama Musk selama kira-kira 25 minit.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment