Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri ke-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertikaikan pengubahsuaian Kompleks Seri Perdana di Putrajaya yang dibuat pada zaman pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kata Marzuki, setelah dibaiki kediaman rasmi perdana menteri itu kini digunakan Anwar untuk majlis-majlis rasmi.
Marzuki dalam satu kenyataan berkata sebelum dibaiki Seri Perdana hanya nampak cantik di luar namun di dalamnya tidak boleh diduduki akibat kerosakan teruk.
“Masalah utama Seri Perdana ialah kebocoran di beberapa bahagian bangunan yang menyebabkan bumbung, siling, dinding dan lantainya rosak. Saya diberitahu peralatan dapur juga tidak boleh digunakan di samping masalah pendawaian yang telah usang dan perlu diganti baharu.
“Selepas Datuk Seri Najib (Razak) bersara, saya diberitahu Tun Mahathir (Mohamad) pun tak pernah tinggal di situ. Ia seolah bangunan terbiar. Dari luar nampak cantik tapi di dalamnya tak boleh diduduki,” katanya.
Menurutnya lagi, bangunan yang tidak didiami dan dibiarkan lama akan menyebabkan kerosakannya bertambah teruk.
“Dengan keadaan ini, Seri Perdana yang sepatutnya menjadi kediaman rasmi perdana menteri, didapati tidak sesuai untuk didiami.
“Oleh sebab itu, kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian terpaksa dilaksanakan untuk membolehkan ia diduduki dan mengembalikan Seri Perdana kepada keadaannya yang asal.
“Bangunan mana pun kalau tak dibaiki, tak diduduki dan dibiarkan rosak begitu sahaja, lama kelamaan kerosakannya akan menjadi lebih teruk dan kosnya akan lebih meningkat,” katanya.
Tambahnya lagi, Najib turut membawa keluar sebahagian besar perabot di dalam Seri Perdana termasuk lampu dan chandelier.
“Kebanyakan perabot juga telah tiada. Ini kerana terdapat kelemahan dalam sistem inventori yang menyebabkan pegawai tidak dapat memastikan samada perabot di Seri Perdana milik kerajaan atau milik peribadi Najib.
“Saya menerima permohonan daripada Datuk Seri Najib untuk mengeluarkan sebahagian besar daripada perabot di Seri Perdana yang dikatakan milik peribadi beliau. Ini termasuk lampu dan chandelier di Seri Perdana.
“Perkara ini menjadi pertikaian sejak sekian lama. Tetapi Alhamdulillah dapat diselesaikan oleh pihak JPM (Jabatan Perdana Menteri) pada ketika itu,” katanya.
Jelasnya, Seri Perdana juga telah diubahsuai sebelum ini menyebabkan keadaannya yang asal telah berubah.
“Saya ingat lagi TSMY pernah berpesan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM pada ketika itu dua perkara mengenai Seri Perdana.
“Perlu ada inventori yang lengkap semua harta kerajaan di Seri Perdana supaya tidak ada mana-mana perdana menteri yang boleh mengambil mana-mana perabot atau hiasan di Seri Perdana selepas bersara, kecuali barangan milik peribadi.
“Perlu ada satu akta mengenai Seri Perdana sebagai bangunan warisan yang tidak boleh diubahsuai sesuka hati. Keadaan asal Seri Perdana mesti dipelihara,” katanya.
Katanya, setelah dibaiki dan dikembalikan kepada keadaannya yang asal, Seri Perdana kini sudah boleh didiami oleh Perdana Menteri Malaysia dan digunakan untuk pelbagai acara rasmi.
“Perdana Menteri ke-10 juga banyak mengadakan majlis rasmi dan acara keraian di Seri Perdana.
“Proses pengubahsuaian dan pembaikan Seri Perdana masih belum siap ketika TSMY meletak jawatan pada bulan Ogos 2021,” katanya.
Terdahulu Anwar mempertikai kos pembaikan Seri Perdana yang mencecah RM38 juta dan disifatkan sebagai satu pembaziran.
Pada 30 September 2021, Muhyiddin dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa RM38.5 juta yang diluluskan di bawah pentadbirannya untuk kerja-kerja ke atas Seri Perdana adalah BAGI membaik pulih kerosakan fizikal bangunan itu, bukannya sekadar pengubahsuaian.
Katanya, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac 2020, pihaknya menerima laporan daripada JPM berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menambah jika tidak dibaik pulih segera, bangunan warisan kerajaan itu akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih dijangka meningkat.
Sementara itu, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang pada 28 September 2021 berkata pengubahsuaian Seri Perdana dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan, selain memastikan imej negara dalam menyambut tetamu utama negara.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment