AHMAD Yahaya. FOTO arkib NSTP
AHMAD Yahaya. FOTO arkib NSTP

Alor Setar: Pas Kedah menyifatkan serangan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan Kedah hampir mirip dengan serangan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, sejarah serangan terhadap Khalid masih kekal bersisa dan belum pernah terpadam dalam ingatan.

"Suatu ketika Saifuddin, Rafizi Ramli dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri membuka gelanggang dan menjatuhkan Almarhum Tan Sri, hari ini watak yang sama sedang menyerang Muhammad Sanusi.

"Dokumen itu bukan saja mengaibkan Almarhum Tan Sri bahkan menjadi punca keretakan politik kerajaan negeri.

"Fitnah yang kelihatannya penuh dengan fakta itu dikendong ke hulu ke hilir memaksa Almarhum Tan Sri meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada 21 September 2014," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kisah itu masih berbekas dan terpapar dalam sejarah hitam politik negara dan hari ini, ia digunakan untuk menjatuhkan Muhammad Sanusi.

"Siapa yang tegar mempertahankan pentadbiran Almarhum ketika itu? Presiden Pas dan Majlis Syura Ulama Pas.

"Almarhum meluahkan kekesalannya terhadap fitnah pemimpin partinya sendiri dalam artikel bertajuk, 'Langkah Kajang, Langkah Kecundang'.

"Beliau menukilkan bahawa peristiwa Langkah Kajang dengan dokumen 91 muka surat itu adalah satu aib kepada beliau, menjadi punca keretakan permuafakatan Pakatan Rakyat, pemecah-belah kepada Pas dan merugikan rakyat Selangor," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin rakyat akan memberikan isyarat yang jelas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pada Mei 2018, media melaporkan Abdul Khalid mendakwa dipecat daripada PKR pada 2014 kerana keengganannya menggunakan wang kerajaan negeri untuk kepentingan parti.