NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Serangan terbaru untuk Kedah : CEO MBI ditahan SPRM, dakwa terima rasuah RM13 juta

PETALING JAYA : Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang wanita berjawatan pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan melibatkan jumlah rasuah melebihi RM13 juta. 

Penahanan suspek yang masing- masing berusia 63 dan 40 tahun itu ditahan sekitar Alor Setar dan Kuala Lumpur lewat petang semalam.

Satu sumber mendedahkan, aktiviti perlombongan yang dijalankan secara haram oleh sebuah syarikat terlibat mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak tahun 2020.

Kata sumber itu, hasil siasatan yang dijalankan dapat mengesan bahawa beberapa pembayaran disyaki melibatkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta diberikan syarikat terlibat sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan perlombongan haram ini dalam tempoh 2020 hingga tahun ini.

“Syarikat milik wanita yang ditahan reman itu dipercayai telah mendapat kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen di Kedah dalam tahun 2016 lagi. 

“Projek tersebut bertujuan untuk menanam semula pokok-pokok getah klon balak di kawasan pembalakan yang terlibat,” kata sumber itu.

Dalam pada itu, kata sumber, syarikat yang sama telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi menjalankan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam kompartmen yang sama pada tahun lalu.

“Namun,  setakat ini tiada kelulusan diberikan oleh Kerajaan Negeri berhubung permohonan syarikat tersebut bagi menjalankan aktiviti perlombongan itu,” jelasnya.

Justeru itu, permohonan reman telah diperolehi SPRM dan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 21 Julai terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan masing-masing  oleh Majistret Wan Shahida Abd Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar dan Majistret, Norsyakirah Che Hashim di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

Semalam, media melaporkan satu kertas siasatan telah dibuka SPRM berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan seorang menteri besar dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang dipercayai dilakukan secara tidak sah serta menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Negeri.

Siasatan dibuat SPRM berhubung kegiatan perlombongan haram dan kerugian hasil bumi ini dilakukan sebaik sahaja agensi itu menerima aduan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Gerakan Anti-Sanusi (GAS) pada Mac lalu.

Kata sumber itu, terdapat juga aduan penduduk di kawasan Bukit Enggang Sik yang mana kerja-kerja perlombongan haram dibuat secara besar-besaran sebelum ditumpaskan oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beberapa orang individu juga telah tampil dan membuat aduan rasmi kepada SPRM bagi menyiasat isu salah guna kuasa dan rasuah melibatkan seorang menteri besar.

Laporan itu dikatakan hasil daripada satu surat tular berkaitan permohonan kuota pekerja asing kepada Kementerian Dalam Negeri yang kononnya bagi projek usahasama antara Kerajaan Negeri dengan sebuah syarikat tempatan dan syarikat daripada China. –UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo