SETIAP kali tibanya musim durian, pelbagai hidangan menu yang boleh divariasikan dengan buah yang digelar raja segala buah-buahan itu.
Selain enak dimakan begitu saja, durian banyak digunakan dalam pelbagai jenis menu masakan seperti dimasukkan dalam resipi pencuci mulut seperti durian crepe, aneka kuih-muih, makanan ringan dan lauk-pauk yang berasaskan durian.
Rakyat Malaysia sememangnya bijak dan kreatif, ada sahaja buah fikiran untuk menjadikan buah durian itu menjadi lebih enak dimakan.
Macam macam menu masakan berasaskan durian sama ada jenis Musang King, Durian Kampung, Durian D24, Durian Duri Hitam dan sebagainya boleh dipelbagaikan cita rasanya.
10 makanan berasaskan durian
1. Durian Crepe
Durian Crepe, sejenis pencuci mulut yang kini menjadi pilihan ramai. Durian Crepe diperbuat daripada kulit lempeng yang didalamnya diletakkan krim dan durian.
2. ABC Durian
ABC Durian adalah antara pencuci mulut kegemaran rakyat Malaysia. Ais kisar yang diletak pulut, kacang merah, jagung, sirap dan susu serta dimakan dengan durian segar pasti menjadikan pencuci mulut itu lebih enak dimakan.
3. Cendol Durian
Sama seperti pencuci mulut ABC, durian juga enak dimakan bersama cendol dan santan kelapa segar bagi melegakan tekak penggemarnya dan rasanya begitu premium.
4. Pulut Durian
Selain enak dimakan begitu sahaja, durian juga sedap makan bersama pulut dan santan segar. Penggemar durian dan pulut pasti menyukai menu berkenaan.
Ada pula dimakan bersama pulut dan mangga seperti menu terkenal dari Thailand.
5. Lempuk Durian
Lempuk adalah sejenis makanan daripada durian dan dimasak dengan gula atau gula Melaka sehingga pekat. Sedap dan sesuai dimakan bersama roti kosong atau untuk ramuan menambah kelazatan untuk pelbagai jenis kuih-muih.
6. Tempoyak
Tempoyak adalah isi durian yang ditapai dengan sedikit garam sebelum menjadi sedikit masam. Bagaimanapun, bagi penggemarnya, tempoyak kebiasaannya dijadikan sambal, gulai dan pais ikan.
7. Serawa Durian
Serawa Durian adalah hidangan yang begitu lazim di Malaysia dan boleh dimakan begitu sahaja atau bersama pulut, roti jala, lempeng dan sebagainya.
8. Dodol Durian
Dodol durian adalah manisan tradisional yang kebiasaannya ditemui ketika hari raya atau majlis perkahwinan. Dodol durian diperbuat daripada tepung pulut, isi durian, gula pasir, santan, gula melaka.
9. Durian Goreng
Kedengaran agak pelik, tapi durian goreng begitu mudah untuk dibuat. Hanya menggunakan bahan campuran tepung goreng serba guna sebelum digoreng.
Enak dimakan panas-panas waktu sarapan pagi atau minum petang.
10. Snek Keropok Durian
Snek bertih jagung perasa durian sudah pasti menjadi pilihan orang ramai terutama kanak-kanak. Rasanya yang manis dan enak semestinya sedap dimakan ketika bersantai menonton televisyen mahupun berkelah.
Sumber I BH Online
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment