KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor  telah mengutuskan surat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung ucapan beliau yang mencetuskan kontroversi.

Menurut beliau, pegawai istana Selangor memaklumkan Sultan Sharafuddin telah memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah tersebut semalam.

Katanya, warkah itu menjelaskan konteks dan maksud sebenar ucapan yang didakwa sengaja diputarbelitkan.

“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan baginda tuanku sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.

“Selanjutnya saya mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, warkah tersebut tidak akan dikongsi kepada umum demi memelihara kemuliaan Sultan Sharafuddin serta bagi menjaga adat dan adab berurusan dengan istana.

Keterangan tersebut untuk melengkapkan siasatan terhadap laporan polis yang telah dibuat oleh pelbagai pihak berhubung isu yang sama.

“Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu,” kata Muhammad Sanusi berkias.

Ucapan Sanusi dalam ceramahnya baru-baru ini menimbulkan kontrovesi selepas mendakwa Sultan Kedah tidak akan melantik individu seperti Datuk Seri Amirudin Shari sebagai menteri besar.

“Sultan hebat macam itu (Kedah) tak akan pilih menteri besar ‘cokia’ macam Amir (Amirudin) tu. Inci pun tak berapa cukup, tarik balik fasal inci,” ucap Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu.-MalaysiaGazette