NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sanusi nafi dakwaan KPN tak angkat telefon sebelum ditahan

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa beliau gagal dihubungi sekali gus menyebabkan penahanannya dilakukan pada pukul 3 pagi, semalam.

Muhammad Sanusi mendakwa, penangkapan terhadap beliau pada awal pagi itu juga merupakan satu komplot untuk menggambarkan beliau seorang penjahat.

“Saya tak mahu ditangkap sebab saya tahu komplot ini nak tangkap ja dulu kerana tangkapan itu bagi satu naratif bahawa telah berlaku satu kesalahan. Kalau dia tangkap depan orang ramai lagi dia syok. Jadi saya elak untuk ditangkap, saya kata boleh beri kerjasama untuk hadir ke mahkamah.

“Saya dicari salah yang tak ada tapi sedang direka, sebab itu ada tangkapan pukul 3 pagi supaya menggambarkan dia ini (Sanusi) jahat. Pukul 3 pagi kena tangkap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah, di sini hari ini.

Semalam, Razarudin menegaskan bahawa penahanan yang dilakukan polis terhadap Menteri Besar itu pada awal pagi adalah bagi memastikan beliau hadir ke mahkamah setelah gagal dihubungi.

Muhammad Sanusi memberitahu bahawa beliau mempunyai bukti tangkap layar WhatsApp dengan seorang pegawai kanan polis yang meminta supaya penangkapan itu tidak dilakukan memandangkan beliau akan hadir ke mahkamah seperti ditetapkan.

“Saya nak betulkan kenyataan oleh IGP (Ketua Polis Negara), Tan Sri (Razarudin) dengan penuh kehormatan saya kepada Tan Sri IGP. PC (Sidang akhbar) dia semalam tak betul. Saya ada berkomunikasi dengan pegawai Bukit Aman dari pukul 10 malam sampai 12.30 tengah malam. Ada WhatsApp,” katanya.

Kata Muhammad Sanusi, sebagai Menteri Besar dan warganegara yang baik, beliau tidak mempunyai masalah untuk memberi kerjasama kepada pihak polis.

“Saya tak pernah lari sekali pun. Jadi tak masuk akal nak tangkap saya. Saya bagi komitmen 100 peratus pukul 9 pagi akan berada di Mahkamah Sesyen Selayang. Tak perlu tangkap saya. Saya nak lari mana? Saya kan Menteri Besar. Dia tetap nak suruh saya hadir (beri keterangan). Saya kata tak apalah. Saya dah habis, saya nak tidur dan rehat,” katanya.

Beliau berkata turut menyerahkan bukti tangkap layar perbualannya itu kepada pegawai kanan polis untuk dimaklumkan kepada Ketua Polis Negara.

“Semua WhatsApp, tangkap layar WhatsApp itu saya saya hantar kepada pegawai kanan polis berkenaan untuk dimaklumkan kepada IGP. Tapi nampak macam tak ada pembetulan. Hari ni saya habaq lah,” katanya.

Namun, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau sama sekali memahami tugas yang perlu dilaksanakan pegawai dan anggota polis terlibat berdasarkan arahan diterima mereka dan menghargai tahap profesionalisme yang dipamerkan ketika proses itu berlaku. –UTUSAN

The post Sanusi nafi tak angkat telefon sebelum ditahan appeared first on Utusan Malaysia.

Visit website

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo