PUTRAJAYA: Rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyingkirkan dua peguam daripada firma guaman Tetuan Tommy Thomas daripada mewakili bekas Peguam Negara itu akan diputuskan pada 11 Ogos ini.
Rayuan tersebut berkaitan dengan kes saman Najib terhadap Tommy yang didakwa mendakwa bekas Presiden UMNO itu secara salah.
Tarikh itu ditetapkan oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat.
Turut bersidang ialah Hakim-Hakim Datuk Azimah Omar dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Pada prosiding hari ini, Najib diwakili peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala Tommy diwakili peguam Alan Adrian Gomes.
Terdahulu, Firoz Hussein menghujahkan berdasarkan Peraturan 5 Kaedah Profesion Undang-Undang (Praktis dan Etika) 1978, mana-mana peguam tidak sepatutnya mengambil kes yang menyebabkan mereka sukar untuk bersikap bebas dan profesional.
“(Sifat) tidak berat sebelah (seseorang peguam) adalah penting untuk menjaga integriti sistem keadilan,” kata peguam terbabit.
Firma Tommy Thomas diasaskan oleh Tommy yang kemudiannya menjadi juruperunding firma berkenaan selepas dilantik menjadi Peguam Negara bermula Jun 2018 sehingga Februari 2020.
Tambah Firoz Hussein, Tommy selaku juruperunding firma mempunyai kepentingan kewangan dalam prosiding saman tersebut kerana beliau perlu membayar ganti rugi sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya.
Sementara itu, Gomez menghujahkan, isu yang perlu ditentukan sama ada rakan kongsi firma guaman itu yang mempunyai kepentinagan kewangan dalam kes saman tersebut.
Selain itu, Gomez menyatakan tidak konflik kepentingan yang menghalang mereka daripada mewakili Tommy kerana tiada mana-mana rakan kongsi firma tersebut terlibat dengan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tambahnya, sepanjang prosiding kes saman itu di Mahkamah Tinggi, hakim yang mendengar kes itu tidak pernah mempertikaikan tahap profesionalisme peguam-peguam yang mewakili Tommy.
Najib, 69, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Ogos 2022 yang menolak permohonannya untuk menggugurkan dua peguam daripada mewakili Tommy Thomas dalam saman Najib terhadap bekas peguam negara itu.
Najib mendakwa pelantikan Gomez dan Lai Wei Shiung bagi mewakili Thomas adalah tidak sesuai kerana mereka adalah dari firma yang sama dengan Thomas.
Menurut pernyataan tuntutan dalam samannya, Najib mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
Najib menuntut satu pengisytiharan bahawa Thomas sudah melakukan misfeasans (salah laku dalam jawatan awam) serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta yang meliputi kos perundangan yang ditanggungnya dalam menangani pendakwaan terhadapnya.
Pada 25 November 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan Najib, dan bekas perdana menteri itu kemudiannya memfailkan notis rayuan pada 22 Disember lalu.
Mahkamah Rayuan menetapkan 4 Oktober ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan samannya terhadap Thomas. -UTUSAN
No comments
Post a Comment