NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saifuddin perlu tumpu tugas menteri, kata Sanusi

ALOR SETAR: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dinasihatkan agar memberi lebih tumpuan kepada tugasnya sebagai Menteri Dalam Negeri (KDN) daripada terus fokus merampas Kedah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sejak Saifuddin menjadi Pengerusi Majlis Tindakan Negeri, mesyuarat belum diadakan lagi.

“Dia (Saifuddin) chairman, saya co-chairman tetapi sekalipun mesyuarat dia belum adakan lagi. Begitulah kalau banyak sangat fokus berpolitik. Jadi macam itulah,” kata beliau pada sidang media, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Ujar Sanusi lagi, sekiranya Saifuddin memberi fokus kepada tugasannya sebagai menteri dan mengadakan mesyuarat, 23 projek yang tertunggak di Kampung Iboi, pastinya dapat diselesaikan.

Tetapi amat malang ujarnya, pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu hanya ‘kira’ main politik sehingga kerja yang sepatutnya selesai tidak berjalan.

Katanya, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu diberi tugas untuk merampas Kedah daripada PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Justeru beliau dilihat, lebih memberi tumpuan tugasan politiknya namun dalam masa yang sama, masalah yang sepatutnya diselesaikan oleh kementeriannya tidak diberi keutamaan seperti kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun lalu.

“Sebagai menteri di KDN, dia perlu memberi perhatian kepada cabaran yang dihadapi negara seperti isu di Jabatan Pendaftaran, 1.2 juta pelancong China yang dikatakan tidak pulang ke tanah air mereka, menteri yang mengganggu kerja-kerja penjawat awam dan lain-lain.

“Tugasnya sebagai menteri KDN sangat banyak. Tak boleh nak tumpu kerja politik sahaja. Hari cuti atau pada malam hari buatlah kerja politik. Hari bekerja, pi (pergi) la kerja,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo