NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RM188 bilion daripada peruntukan Bajet 2023 sudah dibelanjakan



Sebanyak RM188 bilion atau 49 peratus daripada peruntukan Belanjawan 2023 telah dibelanjakan setakat Jun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi tempoh yang sama tahun lepas, sebanyak RM170 bilion daripada peruntukan Belanjawan 2022 dibelanjakan, menurut laporan Bernama.

“Sungguhpun lebih baik daripada tahun 2022, namun pada saya boleh lebih baik dan projek-projek cakna rakyat perlu ditingkatkan dan disegerakan pelaksanaannya.

“Tapi belum cukup memuaskan kerana kita harus mencapai 60 peratus sebelum Ogos,” katanya semasa berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 bertemakan “Memperkasa Malaysia MADANI”, hari ini.

Belanjawan 2023 memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Anwar berkata kerajaan telah melaksanakan pengurangan pemusatan kuasa, peruntukan tambahan dan memberi kelonggaran tatacara perolehan yang boleh mempercepatkan pelaksanaan projek.

Antaranya ialah projek bernilai RM50 juta yang diserahkan pelaksanaannya kepada Jabatan Teknik Sabah dan Sarawak; peruntukan RM100,000 kepada semua jurutera daerah untuk melaksanakan pembaikan kecil di peringkat daerah dan peruntukan khusus RM200 juta untuk Kor Kejuruteraan Angkatan Tentera Malaysia melaksanakan baik pulih kuarters.

Anwar berkata esok beliau akan mengumumkan berkenaan peruntukan kepada Pasukan Gerakan Am dan perumahan polis.

Beliau turut mengumumkan pertambahan peruntukan untuk pelaksanaan projek-projek kecil di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM100 juta menjadikan keseluruhan RM400 juta untuk tahun 2023 dan menambah peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan sebanyak RM600 juta yang menjadikan jumlah keseluruhan untuk tahun ini sebanyak RM1.5 bilion.

Anwar berkata kerajaan juga bersetuju menyalurkan sebahagian peruntukan penyelenggaraan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru bagi melaksanakan projek penyelenggaraan kecil di sekolah kerajaan.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo