KUALA LUMPUR: Ringgit mencecah paras terendah dalam sejarah berbanding dolar Singapura (S$) apabila ia susut ke paras terendah harian 3.4783 sedolar pada pagi ini.
Paras itu mengatasi paras terendah harian sebelum ini iaitu 3.4717 yang dicatatkan pada 22 Jun lalu.
Minggu lalu, bank pusat Singapura memberi amaran mengenai pertumbuhan jangka pendek yang lemah untuk salah satu hab kewangan utama Asia dan berkata perjuangannya menentang kenaikan harga belum berakhir, walaupun ia menurunkan unjuran inflasi untuk tahun ini.
Pengarah Urusan Ravi Menon Monetary Authority of Singapore (MAS), berkata inflasi Singapura akan berkurangan dengan ketara berikutan pendirian dasar monetari yang ketat, tetapi bank pusat itu "tidak akan beralih daripada mod menentang inflasi kepada mod menyokong pertumbuhan".
Sebelum ini iaitu pada April apabila perangkaan harga pengguna utama Singapura meningkat lebih tinggi berbanding jangkaan, MAS bertindak mengukuhkan mata wangnya.
Ia berikutan, bank pusat Singapura itu menggunakan tukaran mata wang asing sebagai alat dasar utama untuk mengatasi masalah inflasi import.
Sementara itu dalam perkembangan lain, nilai ringgit juga susut ke paras terendah tujuh tahun berbanding pound sterling apabila ia menurun kepada 6.0263 pada pagi ini.
Ringgit sebelum ini mencecah paras RM6 setiap pound pada Selasa.
Kali terakhir ringgit merosot kepada RM6 berbanding pound adalah pada 31 Mei 2016, di mana kadar pertukaran berada pada 6.0299.
Ringgit tidak bersendirian kerana pound telah mengukuh berbanding mata wang serantau lain dan dolar AS tahun ini.
Ia juga susulan dasar monetari yang ketat negara itu dalam membendung inflasi.
Pada Jun lalu, Bank of England secara mengejut menaikkan kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas.
Bagaimana pun mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat hari ini apabila diniagakan sekitar 4.6470, naik daripada 4.657 pada Selasa.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes yang dipetik Bernama berkata prospek lanjutan kredit kepada pemaju hartanah akan menyaksikan usaha China mempercepatkan pembinaan projek bagi memacu jualan dan meningkatkan permintaan terhadap komoditi.
Pihak berkuasa China juga telah mengumumkan langkah-langkah untuk menyokong sektor hartanah dengan membenarkan lanjutan pinjaman selama setahun untuk pemaju hartanah kategori 'sakit'.
"Ini positif untuk dagangan ringgit hari ini. Bagaimanapun, pasaran menjangka penurunan dalam inflasi AS pada Rabu, tetapi sudah tentu, persoalannya ialah sejauh mana ia akan mengatasi konsensus," katanya.
Beliau menjelaskan data inflasi AS yang rendah akan menyebabkan dolar AS turun, justeru pengeksport tempatan mungkin menjual dolar AS untuk ringgit terutamanya apabila terdapat petunjuk yuan stabil.
No comments
Post a Comment