Jabatan Imigresen Malaysia memberitahu pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kejadian tersebut. |
Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) kesal tuduhan dilemparkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Tiong King Sing kononnya wujud budaya rasuah melibatkan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Presidennya, Khairil Niza Khairuddin berkata King Sing sepatutnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya benar dakwaan pegawai Imigresen di KLIA terlibat rasuah.
“Ianya bukan dengan membuat kenyataan media yang boleh dianggap tidak berasas kerana tiada bukti serta hanya bertujuan mengalihkan tumpuan daripada isu utama.
“Sebagai seorang orang kenamaan, beliau seharusnya lebih menghormati undang-undang negara dan tidak mengganggu penjawat awam menjalankan tugas mereka.
“Dalam hal ini, pegawai JIM yang bertugas ketika itu sudah semestinya mengetahui dengan lebih jelas mengenai apa yang berlaku dan mengambil tindakan berdasarkan peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegasnya, mana-mana pihak tidak seharusnya mengganggu tugas penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang oleh JIM dan mana-mana badan penguatkuasa di negara ini.
Malah pihaknya juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis jika perkara sama berulang.
“Kami juga bersetuju dengan tindakan JIM yang mengambil tindakan serta merta memulakan siasatan berkenaan isu berkenaan.
“Kami juga senada dengan saranan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar satu siasatan terperinci dilakukan oleh kerajaan berkenaan isu tular mengenai menteri yang didakwa membuat kecoh serta menceroboh dewan ketibaan di KLIA,” katanya.
Semalam, King Sing mengaku dirinya merupakan menteri yang dimaksudnya oleh laporan media berkait kekecohan di balai ketibaan antarabangsa KLIA pada Rabu lalu.
Namun beliau mempertahankan tindakannya itu dan menegaskan telah diberitahu bahawa pegawai Imigresen bertugas meminta rasuah untuk membebaskan seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukannya ke negara ini.
Sebelumnya, Jabatan Imigresen Malaysia memberitahu pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kejadian tersebut.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment