PU Azman (berbaju kuning) kelihatan tenang ketika hadir ke mahkamah |
SEREMBAN - Bapa kepada salah seorang mangsa kes amang seksual fizikal melibatkan pendakwah selebriti Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias tidak percaya tertuduh yang merupakan seorang ustaz boleh melakukan perbuatan terkutuk berkenaan.
Pada hari pertama perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen di sini, lelaki berusia 54 tahun itu memberitahu dia hanya mengetahui kejadian terbabit selepas dimaklumkan oleh seorang ustazah dalam satu pertemuan di sebuah hotel di Shah Alam pada 27 Ogos tahun lalu.
"Isteri saya beritahu telah terima mesej daripada ustazah yang pernah mengajar di sekolah rendah anak saya untuk berjumpa di sebuah hotel di Shah Alam.
"Saya dan isteri serta anak telah pergi ke hotel itu dan setelah semuanya ada, ustazah terbabit memulakan perbincangan dan dia cerita anak saya jadi mangsa," katanya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Menurutnya, ustazah terbabit memberitahu dia mengetahui perkara itu daripada anaknya yang turut menjadi mangsa tertuduh.
Bagaimanapun kata juruteknik berkenaan, anaknya sendiri yang berusia 18 tahun tidak pernah menceritakan secara terperinci kejadian berlaku dan apabila ditanya dalam perjumpaan diadakan dia hanya mengiyakan perlakuan PU Azman
"Yang beritahu berlaku maksiat itu ustazah dan dia turut beritahu anaknya juga jadi mangsa. Saya terkejut, marah dan tak sangka dia (tertuduh) sanggup buat perkara yang dilarang.
"Saya tak pernah kenal ustazah itu melainkan isteri saya dan kali pertama berjumpa dengannya ketika di hotel," katanya.
Saksi kedua itu berkata, dalam perjumpaan itu terdapat sembilan orang iaitu dua wanita yang salah seorangnya ustazah terbabit.
Jelas lelaki itu lagi, dia membenarkan anaknya pergi ke rumah PU Azman pada 5 Februari tahun lalu kerana tidak menjangkakan perkara terkutuk itu boleh berlaku memandangkan tertuduh seorang ustaz.
Malah katanya, anaknya juga sudah lama mengenali PU Azman dalam satu program motivasi yang dikendalikannya di sekolah.
"Pada 5 Februari tahun lalu, isteri saya beritahu yang anak mahu ke rumah PU Azman di Sendayan. Kalau dia pergi seorang bahaya, jadi saya bersama isteri serta anak-anak lain pergi menghantarnya.
"Saya rasa selamat kalau saya sendiri hantar dan saya percaya PU Azman seorang ustaz yang baik dan akan mengajar anak saya tentang agama dan menasihatkannya," katanya.
Peguam turut bertanya sama ada mangsa pernah ke rumah PU Azman, namun lelaki itu memberitahu tidak pasti tetapi mengetahui dia berkawan dengan penceramah terbabit sejak sekolah rendah.
Dalam pada itu ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly adakah dia percaya bahawa anaknya menjadi mangsa kes amang seksual tersebut, bapa kepada empat orang anak itu mengakui tidak percaya.
"Saya tidak percaya benda ini berlaku kerana seorang ustaz tidak akan buat benda maksiat seperti ini.
"Ustaz akan mendidik anak bangsa menjadi ummah yang baik," katanya.
Selain Husni Fairos, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung manakala tertuduh pula diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd. Nasir.
Pada perbicaraan pada Isnin, turut dipanggil iaitu saksi pertama jurugambar dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Lans Koperal Mohd Nor Arif Mohd, 38.
Dalam keterangannya, beliau memberitahu, sebanyak 42 keping gambar telah diambil di lokasi kejadian di rumah PU Azman manakala tiga gambar barang rampasan iaitu permaidani dan botol.
Difahamkan seramai 26 saksi akan dipanggil sepanjang perbicaraan yang dijadualkan sehingga 28 Julai ini.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan PU Azman mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 dan 16 tahun pada Februari dan Julai 2022.
Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai 2022 antara jam 3 pagi hingga 5 pagi.
Selain itu dia turut tidak mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan lain berhubung kesalahan jenayah seksual di Mahkamah Ampang, Klang dan Shah Alam.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment