PETALING JAYA: Proklamasi Orang Melayu memecat Ketua Mobilisasi Negeri Sembilan Hafiz Baharuddin yang bertanding di DUN Sikamat sebagai calon bebas.
“Kami memandang serius pendirian beliau untuk bertanding sebagai calon bebas dan menentang calon Perikatan Nasional (PN),” kata Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Khairuddin Abu Hassan.
Katanya, kumpulan itu kecewa dengan tindakan Hafiz yang tidak mematuhi arahan pengasas Proklamasi Orang Melayu Dr Mahathir Mohamad supaya menyokong calon PN dalam PRN itu.
“Pendirian kami amat tegas dan walaupun pemimpin kami gagal untuk mendapatkan sebarang kerusi di bawah PN namun mempunyai satu matlamat penting bersama PN untuk kalahkan semua calon PH yang bertanding di pilihan raya di enam negeri kali ini,” katanya dalam kenyataan.
Khairuddin juga mengumumkan Jani Ismail kini dilantik sebagai ketua mobilisasi Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Beberapa pemimpin Bersatu dan PAS termasuk Presiden Abdul Hadi Awang menandatangani Proklamasi Orang Melayu atas kapasiti peribadi.
Bulan lalu Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Mahathir mengadakan pertemuan selama dua jam bagi membincangkan “kedudukan dan masa depan orang Melayu”.
Pertemuan itu dipercayai yang pertama antara kedua-dua pemimpin tersebut sejak Langkah Sheraton pada 2020, yang menumbangkan pentadbiran diterajui Mahathir. Muhyiddin kemudian menggantikan beliau sebagai perdana menteri.
Mahathir juga menyatakan sokongannya kepada PN dan dilihat berucap di pentas PAS bersama pemimpin Bersatu dalam kempen menjelang pilihan raya di enam negeri.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment