Mohd Amar (kanan) bersama kepimpinan Pas dan rakyat berdoa memohon kemenangan Pas pada PRN 12 Ogos nanti pada Program Munajat Rakyat Kelantan Ppakat Pertahan dan Amanah Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Mohd Amar (kanan) bersama kepimpinan Pas dan rakyat berdoa memohon kemenangan Pas pada PRN 12 Ogos nanti pada Program Munajat Rakyat Kelantan Ppakat Pertahan dan Amanah Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

KOTA BHARU - Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah yakin parti itu mampu meraih kemenangan 'total' dengan menyapu bersih 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan 12 Ogos nanti.

Beliau berkata, keyakinan itu berpandukan kepada 'mood' rakyat yang dilihat semakin teguh bersama Pas ketika ini.

"Melihat kepada situasi ini, saya yakin Pas akan terus kekal mentadbir Kelantan," katanya ketika ditemui selepas Program Munajat Rakyat Kelantan Ppakat Pertahan dan Amanah Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada malam Jumaat.

Menurut beliau, pelbagai isu yang dikitar semula oleh pihak lawan seperti air dan pengambilan anak beranak untuk bekerja tidak menggugat sokongan terhadap parti itu.

Ujarnya, rakyat sudah bijak membuat penilaian ke atas setiap isu yang dibangkitkan oleh pihak lawan.

Mengulas mengenai 31 calon Barisan Nasional (BN) Kelantan yang diumumkan pada Jumaat, Mohd Amar berkata, ramai daripada calon itu tidak dikenalinya.

"Ramai (calon) saya tak pernah dengar nama, tak tahu lagi sebab tak kenal kita nak komen pun tak boleh," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, Pas juga akan memperkenalkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon muka baharu.

Tambah beliau, setakat ini Pas mempunyai dua calon wanita.