NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN: BN Selangor dapat 11 daripada 56 kerusi - Amirudin

story-image
Agihan kerusi di antara PH dan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) telah dimuktamadkan dengan BN diperuntukkan lebih 20 peratus daripada 56 kerusi dipertandingkan, kata Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari.

Amirudin yang juga menteri besar Selangor berkata pecahan pembahagian kerusi itu telah dipersetujui Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

“Dengan itu, kerusi selebihnya akan ditandingi calon PH dan ini diputuskan selepas mengambil kira faktor kerusi-kerusi yang disandang parti itu sebelum DUN dibubarkan.

“Faktor semasa keadaan politik, kekuatan terkini antara parti dalam gabungan kerajaan perpaduan selain kebolehcapaian untuk menggabungkan kekuatan kedua-dua parti juga menjadi antara faktor dalam menentukan pengagihan kerusi,” katanya ketika sesi temu bual eksklusif bersama Bernama.

Mengambil kira semua faktor terbabit, Amirudin berkata agihan tersebut adalah munasabah dan diterima baik kedua-dua parti.

Sebelum ini, BN dilaporkan menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 14 kerusi dalam PRN, mengambil kira kedudukan PH yang memenangi 16 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor pada PRU15 November tahun lepas.

Pada PRU 2018, BN menang empat kerusi DUN iaitu Sungai Air Tawar, Sungai Burong, Sungai Panjang dan Hulu Bernam sebelum merampas kerusi Semenyih daripada PH dalam pilihan raya kecil pada 2019.

Berhubung calon bakal ditampilkan PH, Amirudin berkata senarai tersebut masih diteliti dan perlukan beberapa lagi siri perbincangan di peringkat negeri sebelum calon dengan kriteria boleh menang dan berupaya mengekalkan momentum perkhidmatan wakil-wakil rakyat PH sepanjang mentadbir negeri dimuktamadkan.

Dia memberi jaminan selain mengekalkan penyandang kerusi, PH juga akan memperkenalkan beberapa calon muka baru meliputi perwakilan wanita, pemuda, ahli politik serta golongan profesional.

“Sebagaimana yang sering saya sebut, kita akan cuba seimbangkan antara calon-calon yang telah lama menyumbang kepada kawasan atau lokaliti diwakili dan dalam masa sama turut memperkenalkan wajah-wajah baru sebagai satu gabungan utuh untuk kesinambungan pentadbiran PH di Selangor,” katanya.

Selangor mempunyai 3,747,057 pengundi dan akan mengadakan PRN serentak dengan lima negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos depan.

Pada PRU14, PH mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi, diikuti BN dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Kedudukan kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH mempunyai 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas, manakala kerusi Batang Kali diisytiharkan kosong pada Februari lepas setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

-Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo