NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Polis tahan pemandu lori bertengkar guna parang

SUNGAI PETANI: Seorang pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan yang berlaku di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun arah selatan, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di rumahnya di Bandar Utama, di sini malam tadi.

“Semalam tular video rakaman kejadian pergaduhan membabitkan dua lelaki di media sosial dipercayai berpunca daripada perselisihan faham kerana membunyikan hon kenderaan. Video berdurasi 31 saat itu ditularkan oleh seorang pemilik akaun Facebook.

“Selepas melihat video berkenaan, Ketua Polis Balai Gurun, Inspektor Mohd. Sofian Abd. Aziz mengarahkan sepasukan anggota Task Force Balai Gurun ke lokasi kejadian dan hasil temubual dengan pengurus stesen minyak itu mendapati kejadian berlaku pada 7.40 malam, 1 Julai lalu.

“Satu laporan polis kemudiannya dibuat oleh Ketua Polis Balai Gurun dan siasatan lanjut kemudiannya berjaya menahan pemandu lori itu di rumahnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zaidy berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan seorang pemandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang bermula di Hentian Kobah, Pendang kerana membunyikan hon kenderaan.

“Dalam keterangannya suspek mendakwa terpaksa mengeluarkan sebilah parang yang disimpan dalam kenderaannya selepas mendakwa diugut pemandu Ford Ranger berkenaan. Bagaimanapun kejadian itu hanya melibatkan pertengkaran sahaja dan berjaya dileraikan oleh orang ramai,” katanya.

Kata beliau, suspek tampil membuat laporan kejadian di Balai Polis Gurun pada pukul 5.14 petang, semalam sebelum ditahan di rumahnya dan kini direman tiga hari hingga 11 Julai untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 61 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958.

“Kita juga sedang mengesan pemandu Ford Ranger dan pemilik akaun Facebook itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyiarkan kandungan jelik, palsu dan mengancam,” katanya.

Orang ramai dan saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian juga diminta menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Sobri Salamat di talian 014-6727927 untuk membantu siasatan. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo