Sekumpulan ahli akar umbi PKR Cabang Kota Bharu menyuarakan kekecewaan dan bantahan terhadap keputusan pimpinan yang menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama kepada Amanah bagi berdepan pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos nanti.
Menurut laporan Malaysiakini, akar umbi terlibat turut mengugut akan menutup operasi 12 pusat daerah mengundi (PDM) yang dibuka sebelum ini jika pimpinan tertinggi parti tidak memberi perhatian terhadap isu tersebut.
Naib Ketua PKR Kota Bharu, Nik Rashid Nik Ismail berkata timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli akar umbi kerana mereka sudah memulakan gerak kerja sejak awal tahun ini.
“Ia termasuk ceramah-ceramah kelompok, disusuli dengan ceramah besar malah membabitkan pimpinan utama parti yang turun membantu apabila tarikh PRN semakin hampir. Kami juga sudah membuka markas jentera melibatkan 12 buah PDM di DUN Kota Lama.
“Dalam keadaan begitu sudah tentu kami rasa kecewa dan membantah apabila calon daripada PKR akhirnya tidak dicalonkan padahal kami diuar-uarkan sebaliknya,” katanya yang mengadakan sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu Amanah mengumumkan calon bagi DUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim yang merupakan bekas calon PH bagi kerusi Parlimen Kota Bharu semasa PRU-15 lalu dan tewas kepada penyandang, Datuk SeriTakiyuddin Hassan.
Sementara itu Ketua Wanita PKR Ranting Jalan Kebun Sultan, Rohana Seman berkata dia sudah bertungkus-lumus menggerakkan jentera akar umbi sejak selepas PRU-15 lagi.
“Tiba-tiba DUN Kota Lama dapat kepada calon Amanah, sedangkan kerusi Amanah sepatutnya di DUN Tanjong Mas.
“Jadi hari ini saya rasa sangat kecewa, segala usaha yang kami buat dengan berkempen dari awal rasa tidak berbaloi.
“Kami rasa usaha dilakukan sudah hampir berjaya untuk memenangkan DUN Kota Lama tetapi akhirnya perkara sebegini terjadi. Ia melenyapkan semangat kami serta-merta,” katanya.
Rohana juga menegaskan mereka akan menutup operasi 12 PDM yang dibuka sebelum ini jika keadaan itu tidak diberi perhatian pimpinan tertinggi parti.
Bagi ahli PKR Cabang Kota Bharu Kamaruzaman Mohamad dia menyatakan kerisauan apabila peluang untuk PH merampas kerusi itu semakin tipis.
Katanya, PH boleh meletakkan harapan bahawa DUN Kota Lama adalah satu kerusi yang paling berpotensi untuk menewaskan PAS.
“Apabila keadaan ini berlaku, saya risau peluang tersebut semakin tipis dan kami sangat berharap pucuk pimpinan boleh mempertimbangkan semula.
“Kita masih ada masa sebelum penamaan calon secara rasmi, jadi besarlah harapan kami agar keadaan ini diperbetulkan,” katanya.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment