ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah yakin masyarakat Siam di negeri ini akan memberi sokongan penuh kepada parti gabungan Kerajaan Perpaduan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid (gambar) berkata sokongan itu dapat dilihat hasil perjumpaan bersama hampir 40 kepimpinan masyarakat Siam dari seluruh Kedah yang diadakan di Bangunan Tunku di sini, hari ini.
“Kita adakan diskusi ini adalah untuk membincangkan perkara termasuk isu pentadbiran, pembangunan, masa depan masyarakat Siam dan beberapa lagi perkara yang masih membelenggu masyarakat berkenaan... ada perkara yang dibincangkan itu berkaitan dengan 'tawaran baharu' (manifesto) untuk PRN nanti.
“Saya setuju banyak perkara yang dibangkitkan oleh mereka itu adalah benda tidak selesai dan kita mengambil kira semua perkara itu dan akan dibangkitkan pada pelancaran manifesto yang akan diadakan di Sungai Petani esok,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mahdzir yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah berkata parti itu perlu menang pada PRN bagi membolehkan kerajaan negeri yang diperintah mereka nanti membawa isu dan berbincang dengan kerajaan Persekutuan berkaitan istilah 'Orang Siam' dan 'Orang Thai' (Thailand).
“Salah satu yang kita mahu bawa berbincang dengan kerajaan Persekutuan adalah berkaitan dua istilah itu di mana ada masalah ketidakfahaman dalam kalangan segelintir pegawai kerajaan... semua yang duduk di Kedah ini merupakan keturunan Siam warganegara Malaysia.
“Tetapi ada pegawai yang tidak faham dan gelar mereka ‘Orang Thai’ yang mana sebenarnya merujuk kepada negara Thailand... benda ini perlu diselesaikan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan, jadi sekiranya kita menang pada PRN nanti, perkara ini antara benda yang akan dibawa berbincang bersama rakan kepimpinan di Putrajaya,“ katanya. -Bernama
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment