Majlis Peguam (Bar Council) dibidas peguam terkenal, Datuk Zaid Ibrahim apabila Akta Hasutan digunakan untuk menekan musuh politik kerajaan campuran.
Zaid mempertikaikan Majlis Peguam yang sebelum ini lantang jika pemimpin Pakatan Harapan (PH) didakwa atas akta sama tersebut, tetapi tidak pula bersuara dalam kes membabitkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Zaid, yang menyokong pakatan UMNO dengan PH untuk membentuk kerajaan tahun lepas membidas kerajaan campuran Datuk Seri Anwar Ibrahim sibuk mengejar pengkritik mereka.
“Pencapaian paling ketara kerajaan Madani ialah menggunakan Akta Hasutan terhadap lawannya.
“Apabila lawan ini memohon maaf, menteri Madani menjawab, ‘Itu tidak mencukupi’,” katanya dipetik laporan MalaysiaNow hari ini.
Terdahulu, Sanusi ditahan pihak polis sekitar jam 3 pagi malam tadi sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk didakwa pagi ini.
Komen Zaid mendapat sokongan daripada rakan peguamnya, Datuk Ambiga Sreenevesan.
“Saya bersetuju dengan Zaid bahawa penggunaan Akta Hasutan terhadap musuh politik (dan sebenarnya terhadap sesiapa sahaja) oleh kerajaan ini adalah tidak boleh diterima sepenuhnya.
“Jadi bertentangan dengan Malaysia yang kita perjuangkan. Akta Hasutan mesti dimansuhkan!” kata bekas presiden Majlis Peguam itu menerusi ciapan di Twitter.
Sanusi didakwa atas ucapannya yang dikatakan mempersendakan prestasi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta pelantikannya oleh Sultan.
Beliau memohon ampun kepada Sultan Selangor, tetapi pemimpin kerajaan termasuk Menteri Undang-Undang Datuk Seri Azalina Othman Said terus mendesak agar siasatan diteruskan.
Kehadiran Sanusi di mahkamah hari ini hanya lima hari selepas polis membuka kertas siasatan terhadap ahli politik popular PAS itu.
Dalam pada itu Zaid menempelak kepimpinan semasa Majlis Peguam, yang sebelum ini mengeluarkan kritikan berhubung penggunaan Akta Hasutan terhadap ahli politik PH.
“Sekarang Sanusi akan didakwa, semua orang gembira. Tiada lagi tekanan ke atas Peguam Negara.
“Majlis Peguam, pembela kedaulatan undang-undang, tentu berpuas hati juga,” tambahnya.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment