Penat woo..kalau lepas PM cakap saya kena betulkan fakta?
Oleh RADZI JIDIN
Isu hutang peneroka
SAYA pantang kalau orang bercakap dengan fakta yang tidak betul.
Terkejut saya dengar petikan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kerajaan PH-BN, semasa Hari Peneroka semalam. Kata beliau,
“Dan baru-baru ini, 3 tahun berdegar-degar, mereka bicara nak jaga orang Melayu, nak jaga Islam. Tetapi, hutang pun tak dilupuskan sehingga kita ambil alih baru-baru ini.
Ya, memang diumumkan. Saya tengok fail, berapa keperluan, 8.3 bilion ringgit. Mana kelulusan? Tidak ada. Tapi dah umum, saya check fail, kebetulan saya Menteri Kewangan, bila nak luluskan? Belum!”
Adoiiii…Perdana Menteri kena semak fakta sebelum bercakap.
Semasa sambutan Hari Peneroka FELDA pada 7 Julai 2020, Perdana Menteri ketika itu mengumumkan penubuhan sebuah Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu FELDA. Pasukan ini diketuai oleh Tan Sri Wahid Omar.
Laporan pasukan ini telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Oktober 2020. Laporan antara lain menyentuh perancangan pemulihan FELDA termasuk pembelian saham FGV dan pengukuhan kewangan FELDA. Penghapusan hutang peneroka turut disentuh.
Cadangan peruntukan RM9.9 billion melalui penerbitan sukuk untuk pemulihan FELDA telah diluluskan oleh Jemaah Menteri. Penerbitan sukuk dibuat secara berperingkat antara tahun 2021 hingga 2026. Rentetan itu, urusan berkaitan pemulihan dan penghapusan hutang peneroka telah dimulakan.
Pada Hari Peneroka FELDA 7 Julai 2021, Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan secara rasminya bahawa sejumlah RM8.3 billion hutang peneroka akan dihapuskan.
Kemudiannya pada 24 Februari 2023, Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh, dalam satu kenyataan media menyatakan bahawa pelupusan hutang peneroka sebanyak RM8.3 billion “telah pun selesai dilaksanakan pada tahun 2021”.
Kalau tanya peneroka pun, mereka sendiri tahu bahawa penghapusan hutang ini telah pun dibuat di bawah Projek Wajar. Jumlah bayaran balik yang perlu dibuat mereka adalah jauh lebih rendah selepas penghapusan hutang berbanding sebelumnya.
Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum bercakap, semaklah fakta. Perkara ini bukan berstatus ‘Sulit’ atau ‘Rahsia’ lagi, telah beberapa kali dijawab di Parlimen dan berita berkenaan juga disiarkan kepada umum.
Tak larat juga saya kalau lepas Perdana Menteri cakap saya nak kena betulkan fakta. Penat woooo….
*Datuk Dr. Radzi Jidin adalah Ahli Parlimen Putrajaya dan bekas Menteri Pendidikan
No comments
Post a Comment