NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda PKR Selangor bantah Najwan dikekalkan pertahan Kota Anggerik

Calon PKR Kota Anggerik, Najwan Halimi, telah memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap calon PSM di Meru, Sivaranjani Manickam.

PETALING JAYA: Pemilihan semula Najwan Halimi bertanding di Kota Anggerik disifatkan memberi gambaran buruk kepada PKR, kata Ketua Penerangan Pemuda Selangor, V Jisnukvitran.

Katanya, pimpinan parti perlu menimbangkan semula keputusan mengiktiraf Najwan sebagai calon susulan isu hantaran kurang sopan bersifat perkauman sebelum ini.

Beliau berkata, PKR perlu bertegas menentang sebarang bentuk perkauman dalam jajaran parti dan memberi keutamaan kepada kepentingan serta hak rakyat, terutamanya golongan minoriti.

“Ia penting bagi parti untuk mengambil tindakan tegas soal perkauman. Negara ini merangkumi kepelbagaian yang mana setiap warganegara dihargai dan diperlakukan secara adil tanpa mengira etnik.

“Sebagai pemimpin Belia India PKR Selangor, kami menuntut akauntabiliti dan ketelusan dalam menangani isu ini serta dedikasi terhadap visi negara yang bersatu serta inklusif,” katanya menurut Sinar Harian.

Malam tadi, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, pemilihan semula Najwan menjadi calon perlu diterima susulan pendirian parti memberi kuasa kepada presiden.

Katanya, semua orang ada melakukan “kesilapan”.

“Kita di sini untuk berkhidmat kepada orang Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan,” katanya ketika mengumumkan calon PKR pada PRN enam negeri di Padang Awam MBSA, Shah Alam.

Pada 14 Julai, Najwan memohon maaf kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap calon parti itu di Meru, Sivaranjani Manickam.

Najwan mengakui kenyataannya tidak wajar dan mengundang salah faham.

- FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo