NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peguam hak asasi manusia kecam langkah kerajaan beri 'nyawa baru' kepada Akta Hasutan



Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam keputusan Kabinet untuk menyemak semula Akta Hasutan 1948, mengatakan kerajaan mengingkari janjinya bagi memansuhkan undang-undang itu berikutan pengumuman pindaan untuk mengehadkan penggunaannya kepada perkara yang melibatkan institusi diraja. 

Penyelaras kempen LFL Nabila Khairuddin berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan (PH) sudah berjanji ketika mereka menjadi pembangkang untuk memansuhkan akta itu sekiranya mereka mengambil alih Putrajaya. 

"Ketika berkuasa sekarang, mereka dengan angkuhnya tidak mempedulikan janji itu," tambahnya.

“Adalah satu pengkhianatan kepada janji reformasi bagi kerajaan ini yang kini mengingkari janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan dengan kononnya mengehadkan penggunaannya hanya untuk perkara yang melibatkan raja. 

"Tiada had atau syarat sedemikian dibuat oleh Anwar dan pemimpin PH lain ketika mereka menggesa Akta Hasutan dimansuhkan. Undang-undang seperti Akta Hasutan, yang menghina hak asasi manusia, tidak boleh dipinda tetapi mesti dihapuskan."

Kerajaan sejak akhir-akhir ini dikritik berhubung penggunaan Akta Hasutan, berikutan pertuduhan yang dikemukakan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor awal bulan ini.

Dalam perkembangan terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said semalam berkata Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 disemak dengan sewajarnya bagi memastikan perundangan itu digunakan hanya untuk melindungi Institusi Raja-raja daripada sebarang provokasi.

Beliau berkata aspek provokasi lain yang melibatkan agama dan kaum juga akan dikaji, termasuk pewujudan undang-undang baru jika perlu dengan mengambil kira pandangan Raja-raja sebagai ketua agama Islam serta amalan dan prinsip antarabangsa yang terbaik. 

Nabila dalam satu kenyataan mempersoalkan penggunaan berterusan Akta Hasutan oleh Malaysia, sambil menyifatkannya sebagai "perundangan kuno dan kejam yang menimbulkan ancaman besar terhadap kebebasan bersuara".

"Akta Hasutan terlalu umum dan meluas sehingga hampir mustahil untuk orang awam mengetahui jenis komen yang akan disifatkan sebagai berbaur hasutan," katanya. 

"Banyak negara Komanwel telah memansuhkan undang-undang era kolonial itu yang disifatkan sebagai mundur atau tidak digunakan kerana sejarahnya sebagai instrumen penindasan dan peruntukannya yang luas dan kabur serta telah digunakan selama bertahun-tahun sebagai alat untuk menyekat perbezaan pendapat yang sah dan menekan kebebasan bersuara." 

Mendesak kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan secara keseluruhan, beliau berkata ia sebaliknya harus menerima "rangka kerja undang-undang progresif yang menghargai wacana awam dan perbincangan kritikal, tanpa mengira isu". 

"Bahawa kerajaan pimpinan PH kini merancang untuk memberikan undang-undang yang tidak adil ini nafas baru adalah sesuatu yang mengerikan dan tidak boleh diterima," katanya.


Sumber I MalaysiaNow




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo