NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pas diibarat parti ‘suci dalam debu’

ANALISIS

KEPUTUSAN Pas mengangkat ‘bendera putih’ lebih awal dengan mengambil ketetapan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu mengecewakan penyokong mereka yang mengharapkan parti itu tampil berani menangkis keputusan tersebut.

Penyokong Pas sebelum ini percaya parti itu akan membersihkan maruahnya daripada tuduhan rasuah yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan tampil mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan di Mahkamah Pilihan Raya Terengganu.

Pas selama ini yang dilabelkan sebagai parti memperjuang Islam kini diibaratkan ‘suci dalam debu’ apabila terpalit dengan kesalahan rasuah.

Pada 27 Jun lalu, Hakim Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffri membatalkan kemena­ngan Ahli Parlimen Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim selepas hakim mahkamah itu memutuskan ada unsur rasuah dan sogokan dalam pengagihan bantuan daripada kerajaan negeri menerusi inisiatif i-Belia serta i-Siswa menjelang PRU15.

Namun, Pas mengambil keputusan di luar jangkaan apabila menyatakan tidak berhasrat mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen yang tidak memihak kepada parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi alasan yang agak rapuh apabila mendakwa keputusan itu dilakukan bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai disebabkan ketiadaan Ahli Parlimen kerana perlu menunggu lebih daripada lima bulan untuk Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Takiyuddin selepas Mesyuarat Pas Pusat yang dipengerusikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Kuala Terengganu pada 8 Julai lalu.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menganggap keputusan Pas itu menunjukkan pe­mimpin Pas akur dengan tuduhan mereka melakukan rasuah pada PRU15 berdasarkan keputusan awal Mahkamah Pilihan Raya Terengganu.

Malah Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu dengan majoriti besar pada pilihan raya tersebut tidak boleh dibanggakan lagi selepas parti itu didapati melakukan kesalahan rasuah kepada pengundi.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub pula berkata, tindakan Pas itu se­olah-olah mengaku wujud unsur rasuah pada PRU15.

“Tidak rayu ini maknanya secara mudah ialah mengaku (melakukan rasuah). Mengapa tidak rayu?” Soal Salahuddin.

Difahamkan Pas mengambil jalan mudah tidak mengemukakan rayuan kerana lebih bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Terengganu.

Pas percaya parti itu dapat memenangi semula Parlimen tersebut sekiranya PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan berdasarkan jumlah majoriti besar diperoleh Ahmad Amzad iaitu sebanyak 40,907 undi pada PRU15 lalu.

Pada pilihan raya itu, Ahmad Amzad mendapat 63,016 undi mengalahkan tiga pencabar lain iaitu calon Barisan Nasio­nal (BN), Mohd. Zubir Embong (22,109 undi), calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi) dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi). – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo