NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nampaknya di Malaysia, tidak boleh cakap apa-apa – Muhammad Sanusi

GOMBAK – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mendakwa pendakwaan terhadapnya bakal menjejaskan peluang beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Muhammad Sanusi berkata, pendakwaan yang dijalankan terhadap dirinya berlaku terlalu cepat dengan hanya tiga hari siasatan.

”Saya diambil pagi tadi tanpa sebarang notis dan saya mengetahui dakwaan itu menerusi laporan media.

”Saya sudah maklum bahawa saya akan hadir ke mahkamah pagi ini namun tetap ditahan untuk siasatan.

“Saya beri kerjasama sepenuhnya. Waktu tangkapan, ada siasatan kes lagi berkaitan ucapan saya di tempat lain juga,” katanya ketika sidang akhbar di Mahkamah Sesyen Selayang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut pertuduhan hari ini, beliau memaklumkan, kedua-dua belah pihak tidak boleh mengulas kes tersebut.

“Nampaknya di Malaysia ini tuan-tuan, kita tak boleh cakap apa-apa. Bercakap di medan politik biasanya diselesaikan secara politik, dengan hujah-hujah.

“Tapi di Malaysia, kita ada kerajaan yang takut. Dia guna agensi untuk sekat suara kita.

“Nampaknya ini tindakan ahli politik bankrap, guna pihak berkuasa untuk sekat kemaraan rakyat. Saya harap ia petanda mereka sebenarnya sedang ketakutan,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh manakala peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud bertindak sebagai peguam Muhammad Sanusi.

Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Sanusi diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dengan dua penjamin yang berlainan dan tertuduh tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober ini sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo