Putin mengatakan al-Quran suci buat umat Islam dan seharusnya dihormati oleh semua orang. - Foto REUTERS
Putin mengatakan al-Quran suci buat umat Islam dan seharusnya dihormati oleh semua orang. - Foto REUTERS

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin menegaskan sebarang tindakan mencemarkan al-Quran, termasuk merosakkan atau membakar kitab suci itu satu kesalahan jenayah di Russia.

Arab News melaporkan, Putin berkata, meskipun tindakan sedemikian tidak dianggap sebagai jenayah di beberapa negara, namun itu kesalahan besar dan boleh dihukum mengikut undang-undang republik itu.

"Di Russia, tindakan mencemar al-Quran dianggap sebagai jenayah berdasarkan Perlembagaan dan kanun keseksaan.

"Al-Quran suci buat umat Islam dan seharusnya dihormati oleh semua orang. Kami sentiasa mematuhi peraturan ini," katanya ketika melawat masjid bersejarah Derbent di Republik Dagestan.

Dalam lawatan, itu Putin bertemu dengan beberapa wakil masyarakat Islam di Dagestan, selain turut menerima senaskhah kitab suci al-Quran.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan seorang lelaki yang membakar al-Quran di luar sebuah masjid di ibu negara Sweden.

Salwan Momika, 37, kini berdepan tuduhan dengan niat mencetuskan provokasi terhadap kumpulan etnik.