MCA mendakwa DAP menjadikan PAS sasaran untuk menakutkan pengundi bukan Melayu khususnya masyarakat Cina.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata tindakan itu menimbulkan polarisasi perkauman dan keagamaan di negara ini.
Tegasnya, meskipun MCA dibenci pengundi bukan Melayu kerana bekerjasama dengan UMNO akibat termakan hasutan dan propaganda DAP namun partinya itu tidak sekali pun menggunakan alasan PAS sebagai parti ektremis agama untuk menjustifikasikan kerjasama dengan UMNO .
“UMNO dibenci oleh rakyat termasuk pengundi Melayu kerana hasutan dan hentaman bertalu-talu propaganda DAP dan ini telah menimbulkan kebencian penyokong UMNO terhadap DAP dan masyarakat Cina yang rata-rata termakan hasutan DAP bertahun-tahun.
“Tiba-tiba DAP bekerjasama dengan UMNO dan menjadikan PAS sebagai sasaran mereka untuk memomokkan dan menakutkan pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina dan ini telah menimbulkan polarisasi perkauman dan keagamaan dengan trend Melayu sokong PN yang diterajui oleh PAS dan bukan Melayu menyokong PH yang diterajui oleh DAP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau percaya polarisasi ini akan berterusan dan menjadi semakin hangat lebih-lebih lagi apabila sentimen perkauman dan keagamaan dieksploitasi untuk menimbulkan kebencian semata-mata demi meraih undi dalam PRN di enam negeri nanti.
Sehubungan itu, beliau berkata MCA berkorban untuk kembali menjadi orang perantaraan dan jambatan perhubungan etnik berlandaskan Perlembagaan yang merupakan peranan tradisi MCA sejak penubuhan Malaysia walaupun dicabar dan dibenci oleh penyokong Malaysian Malaysia yang dianjurkan oleh DAP sebelum ini.
“Keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam persengketaan yang menjadikan sentimen perkauman dan keagamaan sebagai senjata adalah untuk merenggangkan ketegangan perkauman dan keagamaan yang semakin ketara dan mengancam ketenteraman negara.
“MCA tidak setuju dengan penggunaan perpaduan semata-mata untuk mendapatkan undi dan dalam masa yang sama menganiayai mana-mana pihak sebagai musuh dan perlu dibenci,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak sedar diri dan sama-sama bertaubat serta menghentikan polemik agama juga etnik dengan serta merta.
“Tumpuan sepatutnya diberi pada pembinaan negara dan bukannya pembinasaan negara. Ekonomi, nilai mata wang, kos sara hidup dan sebagainya semakin merosot dan rakyat semakin dibelenggukan.
“Sama-sama kita sedar diri dan bertaubatlah ! Lebih-lebih pagi penyokong PAS dan DAP kerana BN tidak dapat lagi memainkan peranan persahabatan dan jambatan antara kaum dan etnik secara efektif seperti dulunya!,” katanya.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment