Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abd Halim dibidas sebagai seorang yang sudah hilang pendirian selepas memegang jawatan, kata Syed Saddiq Syed Abd Rahman.
Presiden parti MUDA itu menempelak yang seolah-olah membisu apabila berada di dalam kerajaan campuran berbanding lantang menentang rasuah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Mana Adam Adli yang anak muda kenal? Berani sampai ke jalan raya untuk tentang rasuah? Kini apabila mereka menduduki takhta kuasa, kes-kes berskala besar ditangguhkan, mana suaranya (Adam Adli)?
“Apabila reformasi undang-undang lapuk tidak kira daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ke undang-undang lain, mana suaranya (Adam Adli)?
“Apabila ia berkenaan isu untuk kita mempertahan institusi kehakiman negara yang melangkaui politik bila diserang bertubi-tubi oleh pimpinan utama kerajaan, mana suara untuk membela dan mempertahan institusi kehakiman?” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama MUDA hari ini.
Syed Saddiq pada masa sama turut mendedahkan pendirian Adam Adli sebelum PRU-15 yang turun ke jalanan mengetengahkan isu kapal tempur pesisir (LCS), menentang kerajaan ketika itu.
“Apabila skandal rasuah LCS yang menyebabkan mereka ke jalan raya, mereka katakan itu isu utama PRU lepas. Jumlah berbilion ringgit disonglap dan mereka yang katakan kalau kita menang, kita humban pemimpin ini ke penjara.
“Saya, Syed Saddiq kata kita ikut Rule of Law. Kalau ada salah, masuk mahkamah dan bela diri di mahkamah. Tapi sekarang (Adam Adli) bisu. Mana isu-isu ni? Mana reforms yang dijanjikan? Saya sudah jawab, sekarang rakyat nak tahu pendirian kamu,” katanya lagi.
Pada 2 Julai lalu Adam Adli meminta Presiden MUDA itu menjawab dahulu soalannya berhubung sama ada partinya mahu berada dalam blok kerajaan atau pembangkang.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Muar itu sepatutnya berbuat demikian sebelum mempersoalkan tentang janji-janji reformasi yang dilaungkan PKR semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ia susulan Syed Saddiq mencabar Pemuda PKR itu menyatakan pendirian terhadap janji-janji pembaharuan dan reformasi yang dilaungkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment