NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Majikan menghilang, pekerja restoran turunkan harga menu demi gaji tertunggak

PETALING JAYA – Pekerja salah sebuah restoran makanan Thai sekitar Kuala Lumpur mendedahkan pihaknya buntu mencari jalan penyelesaian demi mendapatkan gaji yang tertunggak setelah majikan mereka dipercayai menghilangkan diri.

Perkara berkenaan didedahkan menerusi akaun Tik Tok restoran terbabit sejak semalam dan mendapat tontonan lebih 219,000 setakat ini.

“Sempena bos dah lari, MyTOWN bagi bantuan tidak kenakan sewa satu hingga dua bulan. Jadi, kami turunkan harga menu supaya orang datang makan. Jom bantu kami dengan makan di sini.

“Banyak yang dah tiada, semua menu turun harga sebab nak cari duit gaji sahaja. Boleh ke nak tampung RM96,000 dalam masa singkat?

“Kedai pun ‘slow’ sekarang. Beli barang masak kat Pasar Chow Kit sendiri, guna duit jualan tunai nak pusing buat untung dapatkan gaji balik,” tulisnya dalam video berkenaan.

Sehubungan itu, pekerja restoran terbabit sempat berterima kasih kepada pihak pengurusan yang membantu setelah majikan mereka lepas tangan dan menghilangkan diri.

“Terima kasih pihak pengurusan MyTOWN, tetapi semua bergantung kepada pelanggan untuk datang makan. Semoga Allah permudahkan urusan kami dan bos yang lari dapat balasan setimpal,” katanya lagi.

Meninjau komen di video terbabit, ramai dilihat bersimpati dengan nasib malang yang ditimpa pekerja restoran berkenaan selain memberitahu akan singgah makan di restoran itu kelak.

“Nanti kami singgah Insha-Allah. Tunggu gaji masuk, selalu nampak kedai ni tapi tak pernah nak masuk sebab anak-anak tak pandai makan makanan Thai,” tulis bykakbell.

“Dah dua kali pergi, memang tiada orang tapi makanan sedap. Servis pun okay,” kata Nabellanajib. -KOSMO! ONLINE.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo