BUTTERWORTH: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, dinasihatkan melawat sambil belajar ke negeri yang diterajui PAS untuk melihat sendiri gambaran bagaimana pemimpin Islam mentadbir masyarakat berbilang kaum dengan suasana harmoni.
Cadangan itu disuarakan EXCO Srikandi BERSATU, Nor Azah Abdul Aziz, susulan kenyataan tidak berasas Ahli Parlimen Bagan itu yang mendakwa jika 'gelombang hijau' bertapak di Pulau Pinang, ia akan mengakibatkan tokong dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.
Sambil mengecam kenyataan sebegitu, beliau berkata ia tidak sewajarnya diutarakan memandangkan kenyataan terbabit secara terang-terangan menyentuh isu berkaitan 3R yang merujuk agama, bangsa dan institusi raja.
Membalas kenyataan itu, katanya, Islam tidak pernah mengajar umatnya menindas agama lain dan ia adalah fakta yang perlu diakui semua.
"Perkara ini sepatutnya tidak boleh dimainkan beliau (Guan Eng) kerana meniupkan api perkauman dan sentimen agama dalam berhujah.
"Saya mencadangkan supaya beliau (Guan Eng) membuat lawatan sambil belajar ke Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis untuk melihat bagaimana negeri-negeri itu ditadbir pemimpin berjiwa rakyat dengan suasana harmoni masyarakat berbilang kaum dan agama dalam menjalani kehidupan beragama masing-masing," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini PAS menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersikap adil dalam mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk DAP yang turut menggunakan isu 3R secara terang-terangan sebagai modal politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin memberi contoh kenyataan dikeluarkan Guan Eng selain Naib Pengerusi DAP, Nga Kor ming dan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, yang disifatkan sebagai menyentuh isu sensitif berunsurkan 3R.
Mengulas lanjut, Nor Azah yang juga Ketua Srikandi BERSATU Bukit Gelugor berkata, Guan Eng sepatutnya memperjuangkan cara untuk meningkatkan kos sara hidup rakyat serta pelbagai isu kontroversi yang berlaku di Pulau Pinang.
Terdahulu sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat 'gelombang hijau' daripada bertapak di negeri itu.
Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh meminta polis menyiasat kenyataan Guan Eng sebagai memberi amaran keras supaya tidak sesekali mempermainkan isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja tanpa mengira parti.
"Bila kita minta jangan mainkan isu 3R, bukan hanya kepada pembangkang, tetapi juga kepada pihak kerajaan.
"Maka tuduhan seperti ini (kenyataan Guan Eng) sangat-sangat tidak diperlukan oleh rakyat Malaysia. Saya mohon kenyataan ini disiasat oleh pihak polis," katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Sumber I BH Online
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment