PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan telah mengembalikan semula permohonan semakan yang difailkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri Zizie Izette Samad ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit permohonan itu.
Pasangan itu memfailkan permohonan semakan bagi mencabar perintah Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah tahun lepas.
Hari ini panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hadhariah Syed Ismail, Azman Abdullah dan Azmi Ariffin memerintahkan permohonan semakan pasangan itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk mempertimbangkan merit permohonan itu.
Hakim Hadhariah yang mengetuai panel itu berkata apabila permohonan semakan difailkan, adalah menjadi kewajipan Mahkamah Tinggi untuk mempertimbangkan merit permohonan itu tanpa mengira apa jua cara permohonan itu difailkan.
Beliau berkata dalam kes Bung Moktar dan Zizie Izette, Mahkamah Tinggi tidak berbuat demikian (untuk mendengar merit permohonan semakan) apabila mahkamah menolak permohonan semakan pasangan itu berdasarkan alasan mereka telah menggunakan kaedah yang salah ketika memfailkan semakan itu.
Hakim Hadhariah berkata tiada cara khusus dinyatakan dalam Akta Mahkamah Kehakiman 1964 mengenai bagaimana semakan boleh dilakukan.
Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi atas usulnya sendiri, boleh membuat semakan untuk sesuatu kes selepas membaca akhbar atau mendapatkan fail atau berdasarkan permohonan mana-mana pihak atau individu yang berminat pada mana-mana peringkat prosiding.
“Dalam kes ini, permohonan semakan dikemukakan oleh peguam tertuduh (Bung Moktar dan Zizie Izette) di peringkat kes prima facie,” katanya.
Beliau kemudian menetapkan 14 Julai untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.
Pada 9 Dis tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid menolak permohonan semakan yang difailkan pasangan itu tanpa mendengar merit permohonan tersebut.
Pesuruhjaya Kehakiman itu menolak permohonan semakan tersebut selepas menerima bantahan awal pihak pendakwaan yang menyatakan pasangan itu telah menggunakan kaedah yang salah untuk memfailkan permohonan.
Mahkamah Sesyen pada 2 Sept tahun lepas, memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Ini mendorong mereka untuk memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi. Berikutan penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan semakan itu, mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pada prosiding hari ini, mahkamah mendengar bantahan awal yang dibangkitkan pihak pendakwaan terhadap rayuan Bung Moktar dan Zizie Izette dengan menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tidak boleh dirayu.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Bung Moktar diwakili peguam M.M.Athimulan manakala peguam K Kumaraendran mewakili Zizie Izette manakala Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How bagi pihak pendakwaan.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment