Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini membenarkan penangguhan prosiding rayuan dimohon Datin Seri Rosmah Mansor bagi mengetepikan sabitan kes rasuah dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta berkait kes projek solar hibrid di Sarawak.
Prosiding itu sepatutnya dijadualkan pada Isnin hingga Khamis minggu depan.
Memetik laporan Sinar Harian, panel tiga hakim diketuai Datuk Azizah Nawawi bersama Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S Komathy sebulat suara membenarkan penangguhan itu selepas peguam, Datuk Jagjit Singh memaklumkan permohonan anak guamnya, dibuat dengan niat baik tanpa bertujuan melengahkan prosiding rayuan.
Penangguhan itu sementara menunggu kes rayuan isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berhubung pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes berkenaan diputuskan Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan pengurusan kes tersebut pada 18 September depan.
Timbalan Pendakwa Raya K Mangai mengesahkan tidak menerima sebarang arahan untuk membantah permohonan terbabit.
Pada 22 Jun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang didakwa tidak sah dan seterusnya menjadikan perbicaraan kesnya turut terbatal.
Rosmah sekali lagi memfailkan permohonan mencabar pelantikan Sri Ram itu di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 5 Julai, melalui Tetuan Akberdin&Co.
Rosmah, 72, yang memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2022, menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Rosmah memohon pengisytiharan bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 dan 21 Mei 2021 adalah menyalahi undang-undang.
Selain itu, beliau memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes itu dan rayuannya ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan turut ditolak.
Pada 1 September tahun lalu, Mohamad Zaini memutuskan Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Beliau kemudian memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman terhadapnya dan Mahkamah Rayuan menetapkan empat hari dari 11 hingga 14 Julai untuk mendengar rayuan itu.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment