SEREMBAN – “Kami sudah tak tahan lagi setiap hari terpaksa angkut air paip untuk kegunaan kedai makan sejak lebih lima bulan lalu, malah pelanggan yang datang juga terkejut tiada bekalan air paip bersih di sini,”.
Itu keluhan 22 peniaga kedai makan kontena D’Contena, Taman Bukit Coral Height, Sikamat di sini mendesak kerajaan negeri segera mengatasi masalah itu demi keselesaan pelanggan dan peniaga.
Peniaga sarapan pagi, Epa Apriani, 33, berkata lebih memeritkan, ketiadaan sistem perpaipan yang sempurna menyebabkan berlaku masalah dari segi kebersihan dan longkang tersumbat.
“Setiap kali ada pelanggan baru datang ke sini, mereka terkejut apabila melihat kawasan medan selera yang cantik dan beroperasi dari pagi hingga malam ini tiada bekalan air.
“Lebih malang, apabila ada mereka mempersoalkan air dari sumber mana yang kami gunakan untuk memasak kerana bimbang bekalan air tangki mungkin tercemar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, lebih buruk apabila sebelum ini pernah berlaku bekalan air tidak mencukupi kerana jumlah pelanggan yang ramai pada hari Ahad.
“Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) akan mengisi air di dalam tiga tangki besar di sini setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat dan pernah berlaku, bekalan air kering pada hari Ahad kerana pelanggan ramai pada hari Jumaat
“Waktu pelanggan ramai, bekalan air pada hari Jumaat akan habis pada hari Sabtu sehingga menjejaskan peniaga yang beroperasi pada hari Ahad,” katanya.
Seorang lagi peniaga cendol dan minuman, Nurul Ameen Ishak, 56, berkata, semua peniaga di situ menggunakan air yang dibawa dari rumah atau dibeli untuk pelanggan.
“Memanglah, SAINS kata air yang dibekalkan di tiga tangki medan selera di sini bersih, tapi ramai juga pelanggan malah kami sendiri bimbang untuk gunakannya dalam masakan atau minuman.
“Sebab itu, setiap hari saya akan beli air minuman bertapis dari mesin air bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini kepada pelanggan” katanya.
Tambahnya, masalah itu juga menyebabkan longkang di situ kerap tersumbat apabila air basuhan pinggan mangkuk terus disalurkan ke dalam longkang kerana ketiadaan sistem perpaipan.
“Kami difahamkan, bekalan paip air bersih akan dipasang pada Disember ini namun berharap kerajaan dapat mempercepatkannya,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment