Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying. - NSTP |
MELAKA: Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia mempertimbang peruntukan bagi membangun dan memperkasa bidang sukan tempur termasuk wushu, silat serta karate di peringkat sekolah rendah dan menengah pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata peruntukan itu bertujuan mencungkil bakat atau pelapis baharu dalam pelbagai sukan tempur menerusi latihan dan penganjuran acara atau pertandingan di peringkat sekolah.
"Perkara ini baharu diputuskan namun sudah tentu kita akan mempertimbang peruntukan bagi sukan tempur... mungkin dalam perbelanjaan atau belanjawan KPM pada masa akan datang.
"Kita juga akan bincangkan secara lebih terperinci bagaimana untuk memastikan sukan tempur dapat dilaksanakan sebaik mungkin di peringkat sekolah," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Anugerah Kejohanan Wushu KPM-Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) ke-12 di Bukit Serindit hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung WFM, Yong Kheng Chien serta Penasihat Persatuan Wushu Tarian Naga dan Singa Negeri Melaka Kerk Chee Yee.
Mengulas lanjut, Lim berkata sukan tempur yang telah disenarai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Sukan baru-baru ini akan dijadikan sebagai antara kokurikulum di sekolah.
Beliau berkata, inisiatif itu akan melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah agar pelaksanaannya lebih menyeluruh serta lancar selain memastikan pencapaian cemerlang pelajar dalam sukan itu.
Lim juga berkata KPM akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk melaksanakan sesi latihan khas bagi sukan tempur di peringkat sekolah supaya pelajar mendapat pendedahan serta latihan lebih intensif.
"Sekolah juga boleh bekerjasama dengan persatuan sukan tempur seperti wushu di luar sana kerana kebanyakan persatuan mempunyai pelatih yang mahir," katanya sambil menambah penyertaan kaum lain dalam sukan itu di sekolah adalah digalakkan.
Baru-baru ini, Mesyuarat HLC Pembangunan Sukan memutuskan sukan tempur diklasifikasi sebagai aktiviti sukan berbanding aktiviti badan beruniform di sekolah bagi memastikan atlet sukan itu mendapat pengiktirafan yang setara dengan sukan lain selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576). – BERNAMA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment