SEREMBAN - Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa wujud perbuatan liwat dalam kes amang seksual melibatkan Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias dengan dua mangsa di rumahnya di Sendayan pada Ogos lalu.
Pada hari keempat perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, beliau yang merupakan saksi ke-10 memaklumkan kepada mahkamah, perkara terbabit diceritakan sendiri oleh kedua-dua mangsa dalam pertemuan yang diadakan di Hotel Akapela, di Shah Alam pada 27 Ogos tahun lalu.
"Seingat saya, saya ada tanya mangsa utama, adakah Cik Man ada meminta untuk diliwat dan dalam perjumpaan pertama di SACC Center 18 Ogos ketika itu dia kata tiada.
"Tapi dalam perjumpaan di Hotel Akapela, mangsa tersebut memberitahu 'uncle saya ingat balik saya pun ada' selepas mangsa lain menceritakan bagaimana Cik Man meminta mangsa meliwatnya," katanya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Jelas Firdaus, mangsa memberitahu dia tidak menceritakan kejadian itu dalam perjumpaan pertama kerana tidak ingat disebabkan kepalanya masih sakit akibat terlibat dalam kemalangan.
Malah katanya, kedua-dua mangsa juga dilihat geram dan marah terhadap insiden berlaku serta mahukan keadilan, namun takut sekiranya orang tidak percaya apa yang diceritakan.
"Ini kerana Cik Man merupakan seorang selebriti dan sangat popular. Mereka juga bimbang jika buat laporan polis, akan di saman oleh tertuduh.
"Maka saya kongsi dengan mereka bahawa jika mahu dapatkan keadilan dan tegak kebenaran, mereka boleh buat laporan bagi membolehkan siasatan dilakukan," katanya.
Dalam pada itu ditanya peguam Norman Mohd Nasir yang mewakili PU Azman, bagaimana kejadian liwat terbabit berlaku, Firdaus memberitahu yang mangsa menceritakan mereka telah dipujuk oleh tertuduh.
Bagaimanapun beliau tidak ingat jika mangsa ada memaklumkan berapa lama perbuatan terkutuk itu berlaku begitu juga bagaimana posisi badan tertuduh ketika kejadian berkenaan.
"Yang saya ingat seorang mangsa beritahu, ketika dia sedang mandi di rumah Cik Man, tertuduh mengetuk pintu bilik air dan memintanya untuk buka dan berkata 'akan dengan ayah pun nak malu', kerana itu bahasa digunakan.
"Kemudian mangsa keluar bilik air dengan bertuala, tapi Cik Man kemudian minta 'main'," katanya.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria mempersoalkan perkataan digunakan mangsa ketika menceritakan kejadian berlaku sama ada 'main' atau liwat.
Firdaus menjelaskan yang diberitahu mangsa ialah 'main' dan perkataan liwat digunakan hanya untuk menggambarkan kejadian berlaku.
Hakim Datin Surita Budin sekali lagi mempersoalkan Firdaus bagaimana dia tahu berlaku liwat sedangkan mangsa menggunakan perkataan main dan beliau memberitahu ada juga istilah 'main belakang'.
Pada 12 Oktober 2022, PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.
Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai tahun lalu.
Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment