Beberapa kerusi menjadi tumpuan di Selangor selepas parti-parti politik utama mengumumkan calon masing-masing dalam usaha memenangi sebanyak mungkin kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri tersebut.
Pakatan Harapan (PH) merupakan kerajaan negeri setelah memenangi 51 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ia kini bergabung dengan Barisan Nasional (BN) selaras dengan pembentukan kerajaan campuran di peringkat pusat.
PKR meletakkan 20 calon, Amanah (9), DAP (15) manakala baki 12 kerusi lagi ditandingi BN.
Kerusi tumpuan ini kebanyakannya kerusi majoriti Melayu, manakala status quo sudah dijangka untuk kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu.
Sungai Tua, Hulu Klang, dan Gombak Setia di timur Selangor akan menjadi tumpuan utama yang membabitkan nama-nama besar seperti Menteri Besar, Amirudin Shari dan pendahulunya, Mohamed Azmin Ali.
Amirudin akan dicabar oleh Muhammad Hanif Jamaluddin daripada Perikatan Nasional (PN), manakala Azmin ditentang setiausaha politik Amirudin, Juwairiya Zulkifli yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Melawati.
Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin akan berentap melawan penyandang, Hilman Idham dari PN di kerusi DUN Gombak Setia.
Selain itu di utara Selangor, kerusi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjadi tumpuan ekoran kekalahan BN di Tanjung Karang selepas bekas Pengerusi Umno Selangor Noh Omar yang juga penyandang kerusi itu tidak dicalonkan.
Noh juga dipecat daripada Umno selepas PRU15.
Di kerusi Permatang, anaknya Nurul Syazwani Noh mewakili PN akan berentap melawan Mohd Yahya Mat Sahri dari PKR.
DUN di Hulu Selangor turut menjadi tumpuan apabila kerusi Kuala Kubu Bharu, yang disandang DAP menerima pencabar daripada parti Muda yang mempertaruhkan Siva Prakash Ramasamy.
Ia sekali gus memecahkan undi bukan Melayu dan meningkatkan peluang PN merampas kerusi itu.
PN diwakili oleh Teoh Kien Hiong.
Dusun Tua turut menjadi tumpuan apabila penyandang dari DAP, Edry Faizal Eddy Yusof digugurkan dan diganti dengan calon daripada BN, Johan Abd Aziz.
Johan akan bertanding melawan Azhar Hambali daripada PN dan Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad daripada Muda.
Kawasan pusat bandar Selangor dalam Parlimen Shah Alam akan turut mencuri tumpuan pemerhati dengan dua DUN di bawah Parlimen itu, Kota Anggerik dan Batu Tiga menjadi saingan antara nama besar.
Ketua Wanita PN Rina Harun akan bertanding di Batu Tiga melawan Danial Al Rashid daripada Amanah dan Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen daripada Muda.
Najwan Halimi, penyandang Kota Anggerik yang terlibat kontroversi kenyataan berbaur perkauman terhadap masyarakat India, akan berentap dengan Mohamed Sukri Omar daripada PN dan Azad Akbar daripada Muda.
Di selatan Selangor, Sijangkang dan Dengkil masing-masing dalam Parlimen Kuala Langat dan Sepang boleh dikatakan kerusi tumpuan.
Ketiga-tiga kerusi itu masing-masing disandang oleh PKR, PAS dan DAP.
Bagi PRN kali ini, Dr Ahmad Yunus Hairi kekal mempertahankan Sijangkang, berdepan calon BN Mohd Al-Hafizi Abu Bakar.
BN turut mempertaruhkan Noorazli Said di Dengkil yang akan berentap dengan Jamil Saleh, bekas ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna yang mewakili PN.
Dengkil akan menjadi tumpuan ekoran konsentrasi penjawat awam yang tinggi yang menetap di kawasan itu.
Sumber I MalaysiaNow
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment