KUALA LUMPUR: Kerangka Ekonomi MADANi dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang diumumkan kerajaan esok akan menerangkan hala tuju ekonomi Malaysia untuk dekad ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kedua-dua perancangan itu bertujuan menarik pelabur ke negara ini dan menjana peluang kerjaya yang bernilai tinggi, sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan kerangka 'Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat' di ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) di sini jam 9 pagi esok, manakala Kementerian Ekonomi akan meluncurkan NETR Fasa 1 pada sebelah petang.
Usaha menarik pelabur ke Malaysia bukan sekadar aktiviti perjumpaan semata-mata, sebaliknya kerajaan juga perlu meyakinkan pelabur dengan menjawab persoalan mereka mengenai pulangan dan keistimewaan Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan utama, katanya.
"Dengan NETR, kita akan terangkan komitmen kerajaan untuk mencapai lonjakan besar dari segi ekonomi," katanya menerusi di Twitter hari ini.
Rafizi berkata, kedua-dua perancangan itu satu lonjakan utama untuk menunjukkan dan menghantar isyarat kepada dunia bahawa Malaysia akan menjadi peneraju industri hijau nombor satu di rantau ini.
"Kita sudah dapatkan pelaburan RM25 bilion yang terdiri daripada 10 projek rintis bertaraf nasional yang sekarang ini sudah mula ada sambutan yang baik daripada pelabur-pelabur kerana ia menjawab persoalan pelabur mengenai sektor yang mampu menjanjikan masa depan kandungan teknologi dan pulangan (kepada pelabur)," katanya.
Beliau berkata Malaysia mempunyai potensi yang cukup baik dalam peralihan sektor tenaga, dengan kedudukan geografi di tengah rantau Asia Tenggara menjadikan negara ini berada pada kedudukan yang sangat strategik.
"Kita berada paling depan untuk menjadi pemimpin, peneraju industri tenaga boleh baharu atau peralihan tenaga.
"Mengikut rekod pelaburan seluruh dunia, industri yang paling banyak mendapat pelaburan dalam tempoh dua tahun lepas adalah industri tenaga boleh baharu," katanya.
Rafizi turut menempelak kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang tidak mempunyai perancangan ekonomi besar yang diumumkan untuk menarik atau meyakinkan pelabur.
"Sampai ke hari ini, PN masih tidak ada rancangan ekonomi baik untuk negeri ataupun untuk negara. PN mempersoalkan hala tuju ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan - harap mereka dengar dengan teliti pagi dan petang esok," tambahnya. – BERNAMA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment