PETALING JAYA: Kenyataan Kementerian Pengangkutan berhubung tiada keperluan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) memetik Kajian National Airports Strategic Plan (NASP) “dimanipulasi” demi kepentingan politik kepartian, kata Sanusi Md Nor.
Menteri besar Kedah itu, berkata apa yang disebut dalam kenyataan semalam hanya bersifat semasa memandangkan laporan penuh NASP hanya akan disiapkan pada hujung tahun ini.
“Dalam hal ini, ingin saya mengingatkan pihak kementerian supaya tidak membuat keputusan, pendirian atau kenyataan media dengan memanipulasi kajian diusahakan dengan kos yang begitu besar daripada wang rakyat semata-mata untuk kepentingan politik kepartian.
“Projek pembangunan Kedah Aerotropolis yang termasuk dalam komponennya KXP adalah suatu projek yang amat signifikan dengan keperluan ekonomi rakyat dan negara, diperakui oleh penggiat industri antarabangsa sebagai berpotensi untuk menjadi ‘economic game changer’ di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Kementerian Pengangkutan mendapati tiada keperluan bagi pembinaan KXP di bawah projek Kedah Aerotropolis kerana “tidak berdaya maju”. Pihak kementerian memetik dapatan konsultan NASP.
Dalam kenyataannya, pihak kementerian berkata kebergantungan penuh KXP terhadap perkhidmatan kargo semata-mata tidak mampan mengambil kira Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan 92% kargo menerusi penerbangan penumpang melalui “belly cargo”, dan hanya 8% sahaja kargo perkhidmatan penerbangan penuh kargo.
Dalam pada itu, Sanusi memberi maklum balas bahawa banyak jalinan kerjasama dengan “penggiat industri kargo antarabangsa” telah dimeterai, termasuk lima MoU ketika LIMA 2023 di Langkawi, baru-baru ini.
“Ternyata pihak luar lebih berkeyakinan terhadap projek ini berbanding pemimpin kerajaan persekutuan sendiri,” katanya.
Beliau kekal mempertahankan asas utama KXP memberi tumpuan kepada 100% kepada sektor kargo, bukannya penumpang.
“Justeru, dapatan konsultan NASP yang digunapakai pihak kementerian yang mengetengahkan situasi semasa dan sedia ada di KLIA berhubung 92% melalui ‘belly cargo’ adalah tidak sama dengan situasi yang dirancang untuk Kedah Aerotropolis,” katanya.
Sanusi mendakwa, MoU ditandatangani dengan Henan Province Airport Group dan lima penggiat industri semasa LIMA, tidak diambil kira sebagai dapatan dalam laporan NASP yang dikemukakan dalam kenyataan kementerian itu, semalam.
“Kementerian tidak sewajarnya membandingkan konsep KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dengan KXP kerana kedua-duanya beroperasi sebagai lapangan terbang penumpang, sedangkan KXP adalah 100% kargo yang berteraskan ‘transhipment cargo’ dari Eropah ke China melalui KXP untuk pasaran Asia Pasifik,” katanya.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment