Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto BH/SYAHARIM ABIDIN
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto BH/SYAHARIM ABIDIN

KUALA LUMPUR: "Dia buat boleh tetapi orang lain buat tak boleh. Saya rasa ini penyakitlah," kata Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata demikian merujuk tindakan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan iaitu DAP, yang didakwa boleh menggunakan isu menyentuh 3R (raja, agama dan kaum) tetapi melarang parti pembangkang berbuat perkara sama.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah turut menyifatkan tindakan sedemikian tidak adil sambil mengumpamakan situasi menimpa partinya ketika ini seperti diikat tangan dan kaki ketika sedang berlawan, sedangkan DAP dilihat boleh pula menggunakan isu perkauman dan agama untuk menakut-nakutkan masyarakat bukan Melayu mengenai jika gelombang hijau.

Beliau akur dan bersetuju ada had yang perlu dipatuhi, jika mahu menyentuh isu berkenaan kerana perlu mengelak daripada melangkui garis yang ditetapkan.

"Saya ingat semua rakyat Malaysia pun tahu bahawa ucapan ini tidak benar. Saya rasa macam ada sakit mereka ini kerana ada sindrom penafian. Orang yang buat itu, ini, semuanya mengancam mereka (bukan Melayu).

"Isu 3R ini pun saya rasa dimomokkan untuk tidak dicakapkan dalam politik sekarang kerana mereka (PH/DAP) tidak ada apa yang nak dicakapkan tentang hal itu. Kalau kita yang cakap menjadi kelebihan dalam politik kepada BERSATU dan PAS kerana semuanya Melayu. Kalau tak cakap (hal) Melayu nak cakap pasal apa?

"Jika dilihat parti-parti politik di Malaysia ini berasaskan kaum. MIC berasaskan kaum India, MCA Cina dan DAP Cina.

"3R ini ada dalam Rukun Negara. Yang pertama, kepercayaan kepada Tuhan. Itu agama. Cuma saya kata mungkin ada benda yang sensitif. Kalau anda cakap pasal agama anda, janganlah kecam agama lain. Itu tak boleh dan saya pun bersetuju.

"Tetapi kalau kata, jangan percaya PAS. Melayu dan Islam itu jadi asas kepada penubuhan (parti) kita tak boleh bercakap? Kemudian kita nak cakap pasal apa? Saya rasa ini semua dia nak ikat kaki dan tangan kita. Jom lawan tetapi kaki dengan tangan hang (kau) aku ikat. Rasanya ini tidak adil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Keluar Sekejap (KS) bersama Khairy Jamaluddin (KJ) dan Shahril Hamdan yang disiarkan secara dalam talian malam ini.

Menjawab dakwaan wujud stereotaip Taliban terhadap PAS yang mungkin disebabkan sikap tokoh dalam parti itu, Mohammad Sanusi menjelaskan kepimpinan sama ada ulama mahupun profesional membawa imej bertentangan dengan apa yang diperkata itu.

Menurut beliau, pada zaman Nabi Muhamad sekalipun ada kaum atau golongan yang tidak boleh menerima akidah Islam yang dibawa ketika itu, sehingga mencetuskan banyak peristiwa seperti peperangan dan hijrah.

"Islam ini Tuhan buat bagi jadi sunnahnya tak pernah begitu. Kalau akidah Islam ini boleh diterima (dengan mudahnya), nabi tak kena berperang. Nabi tak kena berhijrah. Seluruh nabi-nabi yang membawa risalah Islam itu semua derita dan berjuang," katanya.

Kedah akan menghadapi pilihan raya negeriu serentak dengan lima lagi negeri lain - Foto BERNAMA
Kedah akan menghadapi pilihan raya negeriu serentak dengan lima lagi negeri lain - Foto BERNAMA

Sumber | BH