PORT DICKSON: Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri pada kali ini disifatkan sebagai satu peluang referendum rakyat menolak Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, di mana sahaja beliau pergi khasnya di Negeri Sembilan semasa proses culaan pengundi, majoriti rakyat menyatakan rasa tidak puas hati dengan kerajaan PH-BN yang tidak komited membantu rakyat.

“Dapat dilihat ini bukan gelombang hijau, tapi ini gelombang rakyat yang bersuara secara natural menolak kerajaan PH-BN yang tidak melaksanakan janji semasa Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu,” kata Bakri yang mengetuai perarakan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi penanaman calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang sebentar tadi.

Kata beliau, gelombang yang sedang berlaku seluruh negara ketika ini membadai hingga ke semua tempat tanpa mengira kaum dan agama.

Tambahnya lagi, rakyat memberi ‘isyarat’ yang jelas mereka tidak lagi mahu tertipu dengan janji kosong kerajaan madani yang langsung tidak melihat kesengsaraan rakyat berdepan kemelut ekonomi ketika ini.

“Saya ke kedai kopi, ke banyak tempat di sini majoriti tolak PH-BN, tidak dinafikan ada juga yang menyokong mereka, namun jumlahnya amat kecil sekali,” tegasnya lagi.

Proses penamaan calon PRN bagi kawasan DUN Bagan Pinang bermula sejak jam 9 pagi tadi dengan penyokong PN dan BN berarak menuju ke Pusat Penamaan Calon di Politeknik Port Dickson.

PN mempertaruh calon mantan Pegawai KAGAT ATM, Ustaz Fattah Zakaria yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan.

Sementara BN mempertaruh anak bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Najib Tan Sri Isa Samad.

Namun pencalonan Najib di sini mendapat tentangan dalaman juga mendapat kritikan kerana dianggap calon ‘anak beranak’ ketika isteri Tan Sri Isa Samad, Bibi Sharliza Mohd Khalid dicalonkan di DUN Pilah. 

– HARAKAHDAILY