KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) menuntut Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, memohon maaf secara terbuka dan membela diri dengan membuat laporan polis berhubung isu perkauman yang dilontarkan dalam media sosial baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa kenyataan dibuat bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berhubung meroboh kuil adalah satu perbuatan yang cukup berbentuk perkauman, melampau serta prejudis terhadap kepimpinan PN terutama di Kedah.
Beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata sebagai bekas Ketua Menteri, Guan Eng, pastinya tahu tugas-tugas penjawat awam termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia bukan campur tangan politik atau arahan politik.
"Guan Eng sewajarnya memahami garis kuasa dan bidang kuasa yang diperuntukkan dalam menguruskan negeri masing-masing dan apa yang dinyatakan oleh Guan Eng dalam Bahasa Mandarin ketika majlis politik di Pulau Pinang, adalah sangat berbahaya kepada hubungan baik sesama kaum dan agama di negara ini.
"Saya tidak faham kenapa Guan Eng sanggup meracuni pemikiran pengundi Cina dan menakutkan mereka dengan Gelombang Hijau dan untuk itu, kami menuntut Guan Eng memohon maaf secara terbuka kepada PN dan seluruh umat Islam berhubung kenyataan yang telah dibuat itu," katanya.
Beliau memberitahu demikian dalam sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, sebanyak 50 laporan polis dibuat PN di seluruh negara terhadap Guan Eng berkaitan isu terbabit.
"Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengambil tindakan susulan, ekoran laporan yang telah dibuat di seluruh negara.
"Pemuda PN turut meminta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, untuk mengotakan janjinya bahawa mana-mana pihak atau individu yang bermain dengan isu 3R iaitu kaum, agama dan raja di media sosial, dia akan menghantar kereta polis di hadapan rumah mereka," katanya.
Katanya, Pemuda PN ingin melihat Guan Eng hadir ke balai polis untuk memberi keterangan dan penjelasan berhubung perkara ini.
Diminta mengulas bahawa Guan Eng menyatakan kenyataan itu telah disalah tafsir oleh beberapa media, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Ahli Parlimen Bagan itu boleh membuat laporan polis dan membela dirinya.
"Sekiranya Guan Eng berasakan dia tidak bersalah dan laporan media tidak benar, dia boleh bertindak menyaman media terbabit.
"Guan Eng perlu membuat laporan polis dan menjelaskan segalanya, sekali gus membela dirinya. Kita Pemuda PN boleh 'tutup buku' sekiranya dia tampil memohon maaf secara terbuka demi keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini," katanya.
Guan Eng sebelum ini menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Budha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.
No comments
Post a Comment