Shahril Hamdan berkata Umno mungkin memainkan naratif MCA dan MIC sebagai tamak seperti Muda jika keluar Barisan Nasional. |
PETALING JAYA: Keputusan MCA dan MIC tidak bertanding PRN bulan depan mungkin menjadi titik permulaan kepada penamat “hayat” Barisan Nasional (BN), kata bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.
Menurutnya, pendirian dua parti itu berkemungkinan diambil kerana merasakan dipinggirkan Umno selepas BN menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, termasuk kerjasama bersama bekas musuhnya Pakatan Harapan (PH).
Kata Shahril, malah Umno dilihat lebih gemar bersama DAP berdasarkan kepada perbincangan yang kerap di antara dua parti itu berbanding dengan MCA dan MIC.
Menjawab soalan Khairy Jamaluddin dalam Podcast Keluar Sekejap sama ada perkembangan baharu BN berkenaan boleh menjadi penamat buat komponen berusia 50 tahun itu, Shahril berpendapat “kemungkinan” itu ada.
“Kalau saya hendak buat spekulasi, mereka akan menolak MCA dan MIC sampai satu keadaan tiada pilihan buat keduanya seperti Muda ditolak PH (Pakatan Harapan).
“Muda sendiri keluar dan nampak tamak dan gelojoh, kalau MCA dan MIC keluar itu naratif pertama akan dimainkan Umno,” katanya.
Rabu lalu MCA dan MIC mengumumkan tidak bertanding dalam PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada 12 Ogos ini.
Pengerusi BN Zahid Hamidi pula menafikan dua parti komponen itu memboikotnya, sebaliknya pemimpin MCA dan MIC menyuarakan komitmen membantu jentera gabungan tersebut pada PRN.
BN ditubuhkan pada 1973 untuk menggantikan Perikatan dengan parti komponen utamanya terdiri daripada Umno, MCA dan MIC.
Bagaimanapun sejak pilihan raya umum 2008, sokongan terhadap parti itu semakin berkurangan terutama segmen pengundi bukan Melayu dan mencatat keputusan terburuk pada PRU15 apabila hanya menang 30 kerusi.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment