NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hutang peneroka: Muhyiddin teruskan tindakan saman Anwar

KUALA LUMPUR: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telah mengarahkan peguamnya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atas Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ini, katanya kerana Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada beliau dalam tempoh 24 jam sepertimana yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam kepada PM itu.

Menurutnya, hari ini Anwar membuat kenyataan media berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda dengan mengemukakan dokumen untuk membuktikan bercakap benar.

“Tetapi dokumen yang dia kemukakan bukan berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda. Dokumen itu berkenaan sukuk,” ujarnya dalam kenyataan, malam ini.

Muhyiddin berkata, beliau pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan sukuk bukan pelupusan hutang peneroka Felda.

Tambahnya, pendedahan dokumen itu membuktikan beliau bercakap benar.

“Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar,” jelasnya.

Menurutnya lagi, siaran media Kementerian Kewangan pada hari ini juga mengesahkan ia berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan pelupusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion yang telah pun beliau selesaikan pada tahun 2021.

“Dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang dia tandatangan sebagai Menteri Kewangan. Ini bahaya.

“Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya,” ujarnya lagi.

Justeru, kata beliau jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

“Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Madanon Anwar Ibrahim, lagi besar mudaratnya kepada rakyat.

“Oleh kerana Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada saya dalam tempoh 24 jam sepertimana yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam saya kepadanya, maka saya telah mengarahkan peguam saya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atasnya,” katanya. – HARAKAHDAILY

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo