Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR: PAS melarang semua ahlinya membuat sebarang kenyataan umum berkaitan urusan dalaman parti dalam apa juga bentuk sama ada melalui media, video mahupun audio.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, larangan itu termasuk membuat kenyataan yang berhubung kait dengan hal-hal yang berkaitan calon pilihan raya.

"Pemilihan (calon) dibuat bukannya atas desakan, tekanan atau pengaruh mana-mana pihak.

"Ia perlu melalui banyak peringkat merangkumi Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jabatan Pilihan Raya PAS dengan mengambil kira pandangan organisasi PAS di semua peringkat," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Kenyataan itu dipercayai berkaitan pertikaian beberapa pihak dalam PAS berhubung nama anak bekas Mursyidul Am, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Mohamad Abduh yang tidak disenaraikan sebagai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan.

Perkembangan itu mengundang dakwaan dan tanggapan bahawa PAS berniat mahu mematikan legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan.

Jumaat lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam penjelasannya memaklumkan, Nik Mohamad Abduh tidak dicalonkan pada PRN di Kelantan selepas menolak dua kerusi yang ditawarkan.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, sebarang kenyataan berkaitan isu dalaman parti termasuk pemilihan calon lebih-lebih lagi yang membawa risiko sokongan kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) perlu dihentikan segera.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan pihak berkuasa tatatertib PAS terpaksa menjalankan prosidingnya.

"Sebarang persoalan mahupun pertikaian hal dalaman parti sekiranya wujud perlu dibawa dan diselesaikan mengikut saluran parti.

"Sebagai sebuah parti arus perdana, PAS bersama-sama rakan gabungan PN yakin akan terus diberikan mandat oleh rakyat dalam PRN ini untuk terus mara berkhidmat kepada negara dan rakyat jelata di peringkat negeri dan negara," katanya.