KUALA LUMPUR – Founder Misi Rakyat yang bercita-cita untuk mewujudkan 1,000 hab pertanian dan menghapuskan orang tengah memulangkan semula lebih RM400,000 yang disumbangkan oleh orang ramai.
Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi berbuat demikian selepas Bank Negara Malaysia (BNM) memberi amaran supaya rakyat berhati-hati dengan aktiviti pengumpulan dana yang meragukan.
“Bank Negara dah bagi hint (isyarat) tanpa notis. Screenshot Misi Farms dan buat awareness pada orang ramai bahawa misi berpotensi scammer.
“It’s ok (tidak mengapa), saya sudah baca variasi ini. BNM cuma jalankan tugas untuk jaga rakyat. Memang benar ramai scammer zaman sekarang ni.
“Malam ini saya akan refund (pulangkan) semula semua duit penyumbang ke e-Wallet misi masing-masing. So now (jadi sekarang) tabung akan jadi RM0.00 malam ni,” katanya melalui Facebook.
Berdasarkan perkongsian di media sosial pemulangan sepenuhnya wang sumbangan berkenaan mengambil masa kira-kira lima jam.
Sementara itu, Nur Ahmad Faiz tetap akan melaksanakan misinya untuk mewujudkan hab pertanian menggunakan wang sendiri.
Melalui ‘pelan B’ tersebut, beliau akan bergerak secara senyap dan hanya dapat diekses oleh ‘komuniti tertutup’.
“Saya akan bangunkan hab Misi Farms dengan duit sendiri kali ini. Walaupun duit saya tak banyak, it’s ok. Saya akan buka satu dulu di kawasan yang demand tinggi. Selepas tu, kita duplicate sahaja,” katanya.
Sebelum ini, Nur Ahmad Faiz bercita-cita untuk membina hab pertanian melalui ‘Misi Farms’ yang dikatakan boleh menurunkan harga barangan di pasaran sekali gus menghapuskan orang tengah.
Beliau menyasarkan kutipan berjumlah RM20 juta daripada orang ramai bagi menjayakan misi tersebut yang akan turut membuka pasaran baru bagi memperkasakan petani, penternak dan nelayan.
Berdasarkan semakan di Facebook, Misi Farms mula mengutip sumbangan daripada orang awal bermula Jun lalu serentak dengan impian untuk mewujudkan matawang sendiri melalui Misi Coin.
“Seluruh kekayaan ekonomi baru ini saya agihkan kepada semua pemegang Misi Coin ini. Sila sebarkan kerja gila ini! Adakah masih mustahil atau anda sudah nampak jalan?
“Mata wang ini bukan crypto dan saya akan berikan kepada anda secara percuma untuk dimiliki. Nilai mata wang ini semakin meningkat bersandarkan ekonomi baru yang dimonopoli oleh rakyat sendiri.
“Rakyat akan jadi the biggest kartel di bidang pertanian dan penternakan very soon. So saya aturkan supaya kekayaan ekonomi ini dimiliki oleh pemegang matawang yang saya akan berikan percuma nanti,” katanya.
BNM dalam kenyataan di Facebook semalam meminta orang ramai memastikan kesahihan sebarang kempen pengumpulan dana sebelum mengambil bahagian.-MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment